KUALA LUMPUR 13 Julai — Trend perbelanjaan pengguna dijangka kembali kukuh menjelang penghujung 2026 meskipun kekal berdepan tekanan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi, menurut CIMB Securities.
Firma tersebut berkata, situasi itu dipacu insentif bantuan tunai kerajaan serta peningkatan ketibaan pelancong asing yang dijangka menjadi pemangkin utama bagi menyokong permintaan sektor pengguna.
Momentum jualan dijangka sederhana pada suku ketiga 2026 selepas sebahagian besar perbelanjaan bersempena musim perayaan besar, sebelum kembali pulih secara berperingkat pada suku keempat.
"Pengguna dijangka berhati-hati susulan tekanan kos sara hidup, menyebabkan permintaan tinggi ke atas keperluan harian manakala produk bersifat pilihan kekal lemah," ujar CIMB Securities lagi.
Menurutnya, sokongan kerajaan akan terus membantu perbelanjaan pengguna pada separuh kedua 2026, khususnya inisiatif program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Walaupun jumlah peruntukan kekal RM15 bilion tahun ini, bahagian yang lebih besar kini disalurkan melalui program SARA, sekali gus dijangka meningkatkan permintaan terhadap produk pengguna asas.

Dari sudut kos operasi jelas CIMB Securities, syarikat pengguna secara umumnya berjaya mengelakkan gangguan bekalan bahan mentah utama walaupun berlaku ketegangan di rantau Timur Tengah sebelum ini.
"Bagaimanapun, kos bahan berasaskan plastik, logistik dan utiliti dijangka naik, menyebabkan banyak syarikat memindahkan kenaikan caj menerusi pelarasan kawalan harga jualan yang terpilih," katanya.
Persaingan akan menjadi sengit apabila lebih banyak pemain memperluaskan rangkaian cawangan, dan mendorong syarikat meningkatkan promosi dan menawarkan produk bernilai bagi mempertahankan pasaran.
Justeru, CIMB Securities mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor pengguna memandangkan penilaian semasa mengambil kira sentimen pengguna yang lebih lemah, dan pertumbuhan perlahan.
Ia namun berpandangan syarikat pengguna bersaiz besar yang fokus kepada barangan keperluan asas akan terus disokong oleh permintaan stabil, serta kesan limpahan daripada kenaikan gaji minimum.
"Antaranya QL Resources Berhad, Empire Sushi Group Holdings Berhad dan Life Water Berhad kekal sebagai saham pilihan untuk diberikan perhatian dalam kalangan pelabur," jelas firma berkenaan.
Selain itu, CIMB Securities menjangkakan pelancongan terus menjadi pemacu penting perbelanjaan pengguna yang memberi manfaat kepada syarikat peruncitan serta makanan dan minuman (F&B). - DagangNews.com








