Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bukti keupayaan UEM Edgenta dalam projek infrastruktur mega | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bukti keupayaan UEM Edgenta dalam projek infrastruktur mega

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Julai – UEM Edgenta Berhad terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian pengurusan aset dan infrastruktur apabila berjaya memainkan peranan penting sebagai Jurutera Pemeriksa Bebas (ICE) dalam pembangunan Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

 

Projek yang diterajui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu menyaksikan UEM Edgenta bertanggungjawab menyediakan penyeliaan teknikal, tadbir urus projek dan jaminan kualiti bagi memastikan pembinaan lebuh raya berkenaan memenuhi piawaian keselamatan, pematuhan kawal selia serta kemampanan yang ditetapkan.

 

Menurut syarikat itu, Lebuhraya Pan Borneo dijangka meningkatkan mobiliti, mempertingkat kecekapan logistik, menghubungkan bandar dan kawasan luar bandar serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi jangka panjang di Sarawak, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

 

UEM Edgenta berkata, pengalaman menguruskan projek infrastruktur mega bernilai lebih RM100 bilion di seluruh Malaysia membolehkan syarikat itu memastikan setiap fasa pembangunan dilaksanakan mengikut standard kejuruteraan yang tinggi.

 

Pengalaman tersebut turut disokong penglibatan syarikat dalam projek utama seperti Lebuhraya PLUS, Jambatan Pulau Pinang dan beberapa projek infrastruktur antarabangsa yang menjadi asas kepada pelaksanaan projek berskala besar di Sarawak.

 

Kepakaran Kejuruteraan Hadapi Cabaran Geografi

Merentasi jarak kira-kira 786 kilometer dari Telok Melano hingga Merapok, Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak merupakan antara projek kejuruteraan awam terbesar di Asia Tenggara yang melibatkan pembinaan 115 jambatan serta 25 persimpangan bertingkat.

 

Bagi menangani cabaran geografi Sarawak, UEM Edgenta melaksanakan kajian struktur lanjutan bagi mengatasi keadaan tanah yang tidak stabil, membangunkan penyelesaian kejuruteraan untuk merentasi rangkaian sungai yang luas serta mengurus rantaian bekalan logistik di kawasan terpencil.

 

Syarikat itu berkata, pemantauan teknikal yang dilaksanakan membantu menghasilkan infrastruktur yang lebih tahan lasak, mengurangkan kos penyelenggaraan pada masa hadapan, meminimumkan impak terhadap alam sekitar serta memastikan aset berkenaan mampu berfungsi untuk tempoh jangka panjang.

 

Selain itu, pelaksanaan projek berskala besar tersebut turut melibatkan pemantauan berjuta-juta jam kerja selamat, kerja penurapan asfalt khusus serta penyelarasan tenaga kerja harian yang ramai mengikut piawaian keselamatan dan operasi di tapak pembinaan.

 

t

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Shaiful Subhan berkata, penyempurnaan projek itu memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi, tadbir urus yang berdisiplin serta kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan bagi memastikan lebuh raya berkenaan dapat berkhidmat kepada rakyat Sarawak dengan selamat, boleh dipercayai dan mampan untuk generasi akan datang.

 

Bangunkan Bakat Tempatan, Sedia Sokong Projek Mega

Selain aspek penyampaian projek, UEM Edgenta turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan tempatan bagi memperkukuh ekosistem kejuruteraan di Sarawak dengan menyepadukan kontraktor serta profesional tempatan ke dalam amalan pengurusan projek dan kejuruteraan bertaraf antarabangsa.

 

Menurut syarikat itu, lebih 70 peratus tenaga kerjanya yang menyokong projek di Sarawak terdiri daripada bakat tempatan, sejajar komitmen membangunkan kepakaran dalam kalangan rakyat negeri itu.

 

UEM Edgenta turut bekerjasama dengan Swinburne University of Technology, kampus Sarawak menerusi program latihan industri, program siswazah dan pemindahan pengetahuan teknikal bagi melahirkan lebih ramai profesional kejuruteraan tempatan yang mampu menyokong projek infrastruktur masa depan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Penyelesaian Infrastruktur UEM Edgenta, Raihana Ahmad berkata, Lebuhraya Pan Borneo bukan sekadar projek jalan raya, malah menjadi pemangkin kepada perpaduan, kemajuan dan peluang baharu kepada masyarakat di seluruh Sarawak.

 

Beliau berkata, kejayaan projek itu mengukuhkan lagi kedudukan UEM Edgenta sebagai rakan strategik dalam pembangunan infrastruktur berskala besar, dengan syarikat bersedia menyokong aspirasi pembangunan Kerajaan Sarawak menerusi projek-projek akan datang termasuk Rangkaian Jalan Pesisir Pantai, Jalan Raya Utama Kedua serta pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 yang bakal menjadi jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia.  - DagangNews.com