Petronas meterai dua Kontrak Perkongsian Pengeluaran di luar pantai Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas meterai dua Kontrak Perkongsian Pengeluaran di luar pantai Sabah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Feb — Petronas melalui Malaysia Petroleum Management (MPM), telah menandatangani sebanyak dua Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) iaitu SB306A dan SB306B, yang terletak di luar pantai Sabah.
 

Menurut kenyataan syarikat petroleum kebangsaan itu, pemeteraian tender eksplorasi tersebut dicapai setelah berjaya memuktamadkan Pusingan Bidaan Malaysia 2024 (MBR 2024) dengan turut melibatkan gabungan beberapa firma.

 

"PSC terkini berkenaan telah dianugerahkan kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada tiga syarikat iaitu INPEX Malaysia E&P SB306A Sdn Bhd selain Petronas Carigali Sdn Bhd, dan SMJ Energy Sdn Bhd," jelas Petronas.

 

Pencapaian itu ujarnya, menjadikan keseluruhan PSC kepada 14 yang ditandatangani di bawah MBR 2024, termasuk MBR+, melibatkan 12 pengendali. Kontrak meliputi 11 Peluang Sumber Ditemui (DRO) dan tiga blok penerokaan.
 

Dalam langkah strategik untuk pengembangan sumber hidrokarbon Malaysia, Petronas juga telah memeterai Perjanjian Penilaian Teknikal bagi Lembangan Langkasuka di Selat Melaka dan Lembangan Layang-Layang di luar pantai Sabah.

 

Perjanjian kali ini pula jelas kenyataan tersebut, dilaksanakan dengan melibatkan tujuh syarikat minyak dan gas terkemuka global iaitu BP, Eni, INPEX, Pertamina, PTTEP dan TotalEnergies serta Petronas Carigali sendiri.

 

"Ia turut menggariskan komitmen Petronas untuk terus 'membuka kunci' lembangan sempadan baharu dan memacu penerokaan di perairan wilayah yang bakal menjanjikan pulangan ini," tambahnya.

 

Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Bacho Pilong berkata, Malaysia terus menjadi destinasi peringkat teratas untuk pelaburan huluan, yang menawarkan peluang luas kepada pemain industri untuk mengembangkan portfolio mereka.

 

Penganugerahan kepada 14 PSC di bawah MBR 2024 dan MBR+ itu jelasnya, mengukuhkan kelebihan daya saing Malaysia dan mencerminkan keyakinan kukuh pelabur di negara ini sebagai hab Tenaga Berfaedah yang terkemuka.

 

“Kami menghargai sokongan, komitmen dan kerjasama rakan industri kami, yang telah banyak memainkan peranan penting dalam pembangunan berterusan sumber hidrokarbon Malaysia”, tambah beliau.

 

Seterusnya kenyataan Petronas itu berkata, selain mahu membina momentum MBR 2024, MPM berbesar hati untuk melancarkan pula siri MBR 2025 di bawah tema 'Membangunkan kemajuan dengan tenaga yang berfaedah'.
 

Pusingan bidaan ini menawarkan lima blok di Lembangan Melayu dan Penyu di luar pesisir Semenanjung Malaysia, dan Lembangan Sandakan, di luar pantai Sabah, setiap satu memiliki kekayaan geologi dengan potensi sumber ketara.

 

Selain itu jelas kenyataan syarikat berkenaan, tiga kluster penerokaan DRO tersedia di perairan cetek berhampiran infrastruktur yang sedia ada dan pasaran gas yang berpotensi, membolehkan pulangan perolehan lebih pantas.

 

Petronas kekal komited untuk memastikan bekalan tenaga optimum dan mampan, dengan MPM memainkan peranan penting dalam menguruskan pengaturan petroleum dan menyelia aktiviti petroleum huluan di Malaysia. - DagangNews.com