PETRONAS jamin bekalan minyak petrol negara mencukupi hingga akhir Julai - Menteri Ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS jamin bekalan minyak petrol negara mencukupi hingga akhir Julai - Menteri Ekonomi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mei - Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) memberi jaminan bekalan minyak petrol bagi rangkaian runcit di seluruh negara kekal mencukupi sehingga akhir Julai meskipun pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik.

 

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jaminan itu dimaklumkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam taklimat berkaitan krisis bekalan global.

 

“PETRONAS memberi jaminan bekalan minyak negara kekal mencukupi sehingga Julai,” katanya menerusi siaran langsung di platform media sosial Kementerian Ekonomi hari ini.

 

Menurut beliau, PETRONAS membekalkan kira-kira 50% keperluan bahan api negara melalui subsidiari tersenarai, PETRONAS Dagangan Berhad, manakala baki selebihnya disediakan syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.

 

Jaminan itu hadir ketika harga minyak mentah Brent kekal berada di atas paras AS$100 setong, sekali gus memberi tekanan kepada kos pengangkutan dan harga barangan di peringkat global.

 

Bagi tempoh 18 hingga 22 Mei 2026, purata harga minyak mentah Brent direkodkan pada AS$111.67 setong, meningkat 1.7% berbanding AS$109.85 pada minggu sebelumnya.

 

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan bekalan bahan api negara dijamin sehingga akhir Mei sebelum semakan semula dibuat bagi melanjutkan jaminan bekalan sehingga akhir Jun.

 

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan sedang mempergiat usaha memastikan keselamatan bekalan tenaga negara dapat dikekalkan sehingga Disember.

 

Katanya, gangguan bekalan global yang berterusan kini memberi tekanan kepada aktiviti ekonomi dan meningkatkan kos tenaga di banyak negara.

 

Malaysia ketika ini turut berdepan kesan konflik Iran yang memasuki bulan ketiga, apabila gangguan penghantaran di Selat Hormuz menjejaskan laluan utama perdagangan minyak dan gas dunia.

 

Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas global, dengan ketegangan geopolitik di rantau itu terus mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga antarabangsa. - DagangNews.com