KUALA LUMPUR 8 April - Petronas Gas Bhd kini sedang melaksanakan beberapa langkah kontingensi untuk memastikan keselamatan bekalan gas dan pemulihan perkhidmatan saluran gas yang terjejas akibat kejadian letupan gas di Putra Heights minggu lalu.
Langkah ini diambil bagi memastikan operasi penuh dapat disambung semula secepat mungkin.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat gas nasional itu menyatakan kebakaran yang berlaku di Puchong, Selangor telah menjejaskan perkhidmatan saluran gas di Zon Tengah, termasuk kawasan Shah Alam, Klang, Puchong, dan Batu Tiga.
Gangguan ini memberi kesan kepada sekitar 7% daripada jumlah komitmen gas yang dihantar kepada pelanggan.
"Sebagai pengangkut gas utama, Petronas Gas komited sepenuhnya untuk memenuhi tanggungjawabnya di bawah perjanjian pengangkutan gas kepada penghantar gas," jelas syarikat itu.
Petronas Gas juga menambah ia hanya dapat memberikan impak kewangan penuh terhadap insiden tersebut selepas siasatan insiden selesai, yang dijangka pada Mei 2025.
Langkah mitigasi ini penting selepas Suruhanjaya Tenaga (ST) mengakui bekalan gas negara kini dalam keadaan yang kritikal.
Semalam, suruhanjaya tersebut berkata, kekurangan gas untuk memenuhi keperluan penjanaan elektrik dan sektor industri semakin meruncing, terutama selepas gangguan yang disebabkan oleh kebakaran di Putra Heights.
Petronas Gas juga sedang menilai impak kewangan dan operasinya akibat letupan gas yang berlaku di Putra Heights, yang menjejaskan saluran gas utama yang membekalkan gas kepada kawasan tersebut.
Walaupun menghadapi cabaran ini, syarikat tersebut memberi jaminan ia akan terus memantau keadaan dengan teliti dan melaksanakan langkah pemulihan yang diperlukan bagi memastikan bekalan gas yang stabil dan mencukupi, sambil menunggu penyiasatan selesai.- DagangNews.com








