PETRONAS, ENEOS Xplora perkukuh kerjasama strategik jamin keselamatan tenaga jangka panjang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS, ENEOS Xplora perkukuh kerjasama strategik jamin keselamatan tenaga jangka panjang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 April - Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan ENEOS Xplora (ENEOS) memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang yang terjalin sejak 1995 menerusi pemeteraian perjanjian muktamad bagi mengesahkan secara rasmi kemasukan semula ENEOS ke dalam Malaysia LNG Tiga Sdn. Bhd. (MLNG Tiga).

 

Tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat akhir tertentu, ENEOS akan memegang 10% kepentingan ekuiti dalam MLNG Tiga bagi tempoh sedekad akan datang, susulan tamatnya perjanjian usaha sama terdahulu pada 2023.

 

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas & Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli, serta Pengarah Perwakilan dan Presiden ENEOS Xplora, Yasuhiko Oshida.

 

PetEN
Datuk Adif Zulkifli dan Marina Taib (kiri) mewakili PETRONAS, manakala Yasuhiko Oshida dan Jotaro Tomoeda mewakili ENEOS Xplora dalam majlis menandatangani perjanjian secara maya hari ini. 

 

Majlis itu turut disaksikan oleh Naib Presiden Kanan Strategi Korporat PETRONAS, Marina Md Taib dan Pegawai Eksekutif merangkap Naib Presiden Kanan serta Ketua Bahagian Perniagaan 1 ENEOS Xplora, Jotaro Tomoeda.

 

Pemeteraian perjanjian ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan strategik antara kedua-dua pihak, sekali gus mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang serta memastikan bekalan gas asli cecair (LNG) yang stabil kepada pasaran antarabangsa, khususnya Jepun, dalam persekitaran tenaga global yang semakin mencabar.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, LNG terus memainkan peranan penting dalam campuran tenaga global sebagai jambatan kepada keperluan ekonomi semasa, di samping menyokong peralihan ke arah masa depan rendah karbon.

 

“Dengan Asia menjadi pusat pertumbuhan permintaan LNG global, kestabilan bekalan dan kerjasama jangka panjang kekal kritikal kepada daya tahan ekonomi serantau.

 

"Kerjasama bersama ENEOS yang kini menjangkau tiga dekad mencerminkan keyakinan jangka panjang yang terus menyokong kepentingan tenaga kedua-dua negara,” katanya.

 

Kemasukan semula ENEOS turut membuktikan keyakinan berterusan terhadap daya tahan operasi MLNG Tiga serta nilai jangka panjang aset tersebut, di samping mengiktiraf keupayaan PETRONAS sebagai pengendali LNG bertaraf dunia dan rakan strategik yang dipercayai.

 

Menurut Adif Zulkifli, langkah itu juga memperkukuh fokus PETRONAS dalam membangunkan sistem LNG yang boleh dipercayai, sekali gus terus memberikan nilai kepada pelanggan dan rakan kongsi, khususnya dalam pasaran utama seperti Jepun. - DagangNews.com