Petronas dan Eni S.p.A tubuhkan syarikat induk bagi menyelia aset huluan di Indonesia dan Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas dan Eni S.p.A tubuhkan syarikat induk bagi menyelia aset huluan di Indonesia dan Malaysia

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat tenaga bersepadu ner[angkalan di Itali, Eni S.p.A bagi membentuk syarikat induk usaha sama yang menyasar untuk menyelia aset huluan terpilih di Indonesia dan Malaysia.

 

Petronas berkata, kedua-dua syarikat itu yakin kerjasama itu akan mewujudkan peluang pertumbuhan yang ketara di kedua-dua negara.

 

Pengeluar gas nasional itu menjangkakan kerjasama itu akan menjana sinergi ke arah menjadi pemain gas asli cecair (LNG) utama di rantau tersebut sambil mengekalkan tahap pengeluaran sebanyak 500,000 tong seharian. 

 

"Usaha sama itu akan menggabungkan kira-kira tiga bilion tong rizab setara minyak (boe) dengan potensi penambahan 10 bilion boe.

 

"Dalam ada itu, perkongsian tersebut akan menumpukan pada pelaburan dalam projek pembangunan gas baharu, mencerminkan komitmen syarikat terhadap peralihan tenaga dan menyokong peningkatan permintaan gas domestik serantau," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. 

 

 

ENI

 

 

Petronas turut berkata, melalui perkongsian ini, pelan perniagaan komprehensif akan dibangunkan untuk menangkap peluang masa depan dalam penerokaan, pembangunan dan potensi pertumbuhan portfolio.

 

“Pengaturan ini akan mengekalkan struktur operasi semasa syarikat baharu itu, dengan menumpukan kesihatan, keselamatan dan persekitaran, penyampaian dan kecekapan projek, sementara Peronas dan Eni terus mengekalkan komitmen pelaburan sosial mereka.

 

"Syarikat baharu itu akan memanfaatkan kecekapan dan keupayaan kewangan kedua-dua Petronas dan Eni dan dijangka meningkatkan pembiayaan luaran secara kendiri," katanya.

 

Sehubungan dengan itu, Petronas dan Eni menyasar untuk memastikan kestabilan dalam pengeluaran aset Malaysia sambil menyokong perkembangan baharu di Indonesia.

 

“Kedua-dua syarikat telah memaklumkan kepada kerajaan Indonesia dan Malaysia tentang matlamat dan hasrat mereka. 

 

"Sebarang transaksi akhir akan tertakluk kepada kelulusan kerajaan, kawal selia dan rakan kongsi yang berkaitan,” katanya.- DagangNews.com