PETRONAS Dagangan catat hasil RM11.2 bilion pada 1QFY26, umum dividen 18 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Dagangan catat hasil RM11.2 bilion pada 1QFY26, umum dividen 18 sen sesaham

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Mei - PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) mencatat hasil lebih tinggi sebanyak RM11.2 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, meningkat 23% berbanding tempoh sama tahun lalu disokong purata harga jualan dan jumlah jualan yang lebih kukuh.

 

Prestasi itu dicapai meskipun syarikat berdepan ketidaktentuan pasaran minyak global ketika ini.

 

Jumlah keseluruhan jualan kumpulan meningkat 7% tahun ke tahun (YoY), dipacu pertumbuhan jualan petrol (Mogas) menerusi pengalaman pelanggan yang lebih lancar melalui aplikasi Setel selepas pelaksanaan BUDI95 selain peningkatan permintaan daripada segmen komersial.

 

Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai (PAT) susut sedikit 3% kepada RM291.4 juta berbanding suku sama tahun lalu berikutan peningkatan kos produk susulan kenaikan harga pasaran.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan, Azrul Osman Rani berkata, prestasi suku pertama membuktikan kekuatan perniagaan teras kumpulan dan keupayaan operasinya untuk terus stabil dalam persekitaran mencabar.

 

“Dalam pasaran yang tidak menentu, keutamaan kami jelas iaitu memastikan pelanggan terus menikmati bekalan bahan api yang boleh dipercayai serta kualiti perkhidmatan dan kemudahan yang konsisten di setiap titik sentuhan pelanggan.

 

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan pengalaman pelanggan sambil bertindak pantas terhadap tekanan kos dan perubahan pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, syarikat kekal yakin mampu mengharungi cabaran dalam segmen runcit dan komersial selain terus memperkukuh proposisi nilai pelanggan bagi menjana pertumbuhan jangka panjang.

 

Susulan prestasi tersebut, PDB turut mengumumkan dividen interim sebanyak 18 sen sesaham biasa bagi suku berakhir 31 Mac 2026. - DagangNews.com