KUALA LUMPUR 13 Mac – PETRONAS Chemicals Group dijangka mencatatkan lonjakan keuntungan yang ketara bagi tahun kewangan 2026, hasil daripada kenaikan mendadak harga pasaran bagi produk petrokimia seperti urea, metanol dan polyethylene (PE), menurut CGSI Research.
CGSI mengekalkan saranan Tambah terhadap saham PCG dengan harga sasaran baharu RM5.54, berbanding RM4.45 sebelum ini, susulan peningkatan anggaran keuntungan bersih teras FY26F daripada RM143 juta kepada RM1.5 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata kenaikan harga berlaku selepas perang yang tercetus di Iran pada 28 Februari 2026, yang menjejaskan bekalan global dengan harga urea meningkat sebanyak AS$250 per tan dan metanol naik AS$175 per tan, melebihi anggaran awal CGSI.
Bagi produk PE, kenaikan harga spot juga lebih tinggi daripada jangkaan awal. Beberapa pembeli membayar sehingga AS$500 per tan, dua kali ganda anggaran sebelumnya, menjadikan semua produk PCG yang dijual mendapat keuntungan maksimum.
CGSI menjangkakan harga Divisyen Baja dan Metanol (F&M) akan meningkat purata 25% bagi FY26F berbanding tahun sebelumnya, manakala Divisyen Olefin dan Produk (O&D) pula dijangka mencatat purata kenaikan harga 15% tahun ini.
“Kenaikan harga ini dijangka menjadi pemacu utama di sebalik unjuran keuntungan FY26F yang meningkat drastik.
“Walaupun begitu, unjuran keuntungan FY27F dan FY28F dijangka menurun kepada RM368 juta dan RM44 juta, kerana pasaran dijangka kembali normal selepas tempoh enam bulan kenaikan harga,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Risiko terhadap operasi PPC juga diambil kira. Kekurangan bahan mentah berpotensi menurunkan kadar penggunaan kilang dan meningkatkan kerugian EBITDA, yang diunjurkan sebanyak RM500 juta bagi FY26F.
Selain itu, kebimbangan terhadap kekurangan gas domestik untuk kilang petrokimia dianggap rendah kerana Malaysia mengimport gas asli dari Australia dan Kanada, yang tiada gangguan dilaporkan.
CGSI berkata pemulihan pasaran PCG boleh mendapat dorongan tambahan sekiranya Selat Hormuz terus ditutup, menyebabkan kekurangan bahan mentah global dan kenaikan harga petrokimia lebih lama daripada jangkaan.
“Pada masa sama, risiko penurunan harga wujud sekiranya Selat Hormuz dibuka semula, meningkatkan bekalan petrokimia global dan menurunkan harga jualan,” katanya.
Saham PCG kini didagangkan pada harga RM4.14 dengan harga sasaran RM5.54, memberikan potensi kenaikan sebanyak 33.8%. Pemegang saham utama adalah PETRONAS (64.4%) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (12.4%).
Dari segi prestasi kewangan, CGSI menjangkakan pendapatan pada FY26F adalah RM31.77 bilion dengan EBITDA RM4.43 bilion dan keuntungan bersih RM1.5 bilion. Kadar dividen dijangka kekal stabil pada 1.69%.
CGSI menekankan bahawa syarikat kini berada dalam fasa “super cycle” petrokimia susulan konflik di Timur Tengah, menjadikan PCG berpotensi meraih keuntungan maksimum pada FY26F sebelum pasaran kembali stabil. - DagangNews.com








