KUALA LUMPUR 25 Jun – Peterlabs Holdings Berhad menarik semula dua saman sivil oleh syarikat terhadap beberapa individu serta menamatkan penggantungan Datuk Loh Saw Foong sebagai Pengarah Eksekutif syarikat dan Pengurus Besar anak syarikatnya, Thye Onn Tong Trading Sdn Bhd.
Saman tersebut sebelum ini difailkan oleh Peterlabs dan Thye Onn Tong Trading di Mahkamah Tinggi Seremban terhadap Saw Foong, Datin Lin Ching Yein dan Bu Yaw Seng.
Ia berkaitan isu dalaman syarikat termasuk penggantungan Saw Foong dan notis permohonan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) oleh Ching Yein dan Yaw Seng.
Peterlabs berkata, penarikan balik saman tersebut dibuat tanpa sebarang perintah kos dan dengan kebenaran untuk difailkan semula jika perlu.
Syarikat turut mengesahkan, penggantungan terhadap Saw Foong ditamatkan serta-merta.
"Beliau akan kembali bertugas. Namun, tanggungjawab dan skop kerjanya telah disemak semula, tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah," kata Peterlabs dalam makluman di Bursa Malaysia.
Penggantungan Saw Foong diumumkan pada 13 Mei 2025.
Keputusan terkini itu menunjukkan bahawa isu yang timbul sebelum ini telah diselesaikan.
Lembaga pengarah Peterlabs percaya, pelantikan semula Saw Foong akan membantu memulihkan kestabilan dalam pengurusan syarikat. - DagangNews.com








