KUALA LUMPUR 25 Jun – Pengeluar makanan haiwan peliharaan tempatan, Pet World Nutritions menyasarkan 20% pasaran tahun ini, didorong pertumbuhan tahunan sekitar 8% dan rancangan menguasai 12% pasaran milik pesaing.
Pet World yang mengeksport lebih 10 negara di Asia Tenggara dan Asia Selatan, menjadi syarikat pertama di Malaysia yang menawarkan Program Jaminan Pulangan Wang 100% bagi setiap pembelian.

Syarikat belum merancang untuk menembusi pasaran luar seperti Amerika Syarikat dan Eropah, sebaliknya terus memberi tumpuan kepada penguasaan pasaran serantau.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Choy Peng Yew berkata, Pet World kini menguasai 25% pasaran makanan haiwan peliharaan tempatan, termasuk 17% bagi segmen kucing dan 37% bagi anjing.

"Kami yakin jualan akan meningkat sehingga 20% tahun ini, meliputi sekitar 50,000 tan.
"Pasaran makanan haiwan peliharaan di Asia Tenggara sahaja bernilai berbilion ringgit, jadi fokus kami kekal kepada pasaran serantau dan penguasaan pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan semasa lawatan media ke Ibu Pejabat Pet World bernilai RM50 juta.

Malahan, pelanggan yang tidak berpuas hati boleh membuat tuntutan dalam tempoh 14 hari, dengan syarat produk masih dalam keadaan asal dan dibeli daripada peruncit sah.
Kilang beroperasi secara automatik sepenuhnya yang menjadi sebahagian daripada ibu pejabat hijau itu hanya menggajikan 17 pekerja, selain menempatkan makmal penyelidikan dan kemudahan pengeluaran.

Pet World turut merancang untuk memperkenalkan makanan segar haiwan peliharaan setanding dengan makanan manusia serta pembangunan taman kucing bernilai RM15 juta di Cyberjaya.
Syarikat kini sedang melaksanakan kempen 'Hanya Yang Terbaik Untuk Si Comel Anda' bagi memperkukuh komitmen terhadap kualiti, inovasi, dan kelestarian.

Sejak ditubuhkan pada 2006, Pet World komited membangunkan makanan haiwan peliharaan yang diformulasikan secara saintifik, merangkumi keperluan kesihatan seperti penghadaman sensitif serta penjagaan kulit dan bulu.

Lima jenama utama syarikat ialah ProDiet dan Delizios bagi makanan kucing, manakala ProBalance, Simple, dan Le Gourmet untuk anjing.- DagangNews.com








