KUALA LUMPUR 26 Feb - Sesetengah pesakit yang mengguna surat jaminan untuk rawatan hospital swasta didapati perlu membayar kos lebih tinggi berbanding mereka yang membuat pembayaran dan menuntut balik kemudian, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Hui Ying berkata, ini berdasarkan analisis tuntutan bil hospital swasta yang dikemukakan kepada syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO), lapor Bernama.
“Memandangkan caj rawatan yang dikenakan adalah kurang telus, kajian lebih terperinci perlu dijalankan bagi lebih memahami isu ini dan menentukan langkah susulan yang sesuai,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), yang meminta Kementerian Kewangan menjelaskan perbezaan harga antara kedua-dua kaedah pembayaran itu.
Surat jaminan ialah dokumen yang dikeluarkan oleh syarikat insurans atau majikan kepada hospital atau pembekal perubatan, yang menjamin pembayaran untuk rawatan pesakit.

Hui Ying berkata, kerajaan menyedari kebimbangan itu, yang turut dibangkitkan semasa sesi pendengaran awam baru-baru ini oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, hospital swasta dan ITO, sedang berusaha untuk mencari rumusan jangka panjang kepada isu kenaikan kos perubatan dan caj hospital swasta.
“Ini termasuk meningkatkan ketelusan kos ubat dan memudahkan perbandingan perbelanjaan perubatan biasa. Pelan tindakan bersepadu ini telah dibentangkan kepada PAC semalam,” katanya.
Hui Ying juga mendedahkan penemuan awal daripada pangkalan data tuntutan bersepadu industri ITO, menunjukkan kadar tuntutan tinggi untuk penyakit tertentu pada 2023 di bawah insurans perubatan dan kesihatan serta takaful.
Antara penyakit yang paling biasa dituntut ialah radang paru-paru, masalah tulang belakang, gangguan sistem penghadaman dan penyakit jantung.- DagangNews.com








