KUALA LUMPUR 26 Feb - Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangkakan kos pengeluaran tinggi mungkin menjejaskan pertumbuhan untung bersih Nestle (Malaysia) pada jangka masa pendek.
Firma penyelidikan itu juga meramalkan hasil syarikat makanan dan minuman itu akan bertambah baik secara berperingkat-peringkat pada suku akan datang berikutan gencatan senjata di Gaza dan perbelanjaan perayaan pada 1Q25.
Katanya, walaupun jangkaan volum jualan diyakini lebih kukuh semasa musim akhir tahun perayaan, Nestle melaporkan pertumbuhan hasil marginal sebanyak 2% QoQ, disebabkan keraguan pengguna yang berpanjangan terhadap produknya.
"Hasil 4QFY24 Nestle jatuh 13% diheret oleh penjualan domestik lemah dikesan oleh ketegangan geopolitik tetapi sebahagiannya diimbangi oleh pertumbuhan jualan eksport yang lebih kukuh," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Oleh itu Maybank IB menurunkan unjuran hasil Nestle pada FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 33% dan 34%.
"Berikutan gencatan senjata Gaza, kami percaya jumlah jualan Nestle akan pulih secara beransur-ansur pada 1Q25 tetapi mungkin tidak mencukupi untuk mengimbangi kos pengeluarannya yang lebih tinggi.
"Nestle mungkin akan menaikkan harga produknya bagi mempertahankan margin pada FY25, tetapi kami percaya keupayaannya memindahkan kos lebih tinggi kepada pengguna mungkin mencabar kerana kebimbangan kemampuan dan kepekaan mereka terhadap kenaikan harga," katanya.
Sementara itu, firma penyelidikan itu menurunkan saranan Nestle kepada "pegang" daripada "beli" dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah iaitu RM96.70 sesaham.
Antara risiko yang boleh menjejaskan saranan dan hasil Nestle termasuk peningkatan harga bahan mentah dan kenaikan nilai dolar Amerika Syarikat (AS$) berbanding RM. - DagangNews.com








