KUALA LUMPUR 28 Feb - Prospek hasil MR DIY Group Bhd diyakini semakin mencabar akibat momentum penjualan perlahan dan kos operasi tinggi yang berkemungkinan akan menekankan pertumbuhan pendapatan kumpulan pada FY25, kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB)
Firma penyelidikan itu berkata, tarikh pentauliahan gudang automatik baharunya telah ditangguh ke pertengahan 2025 dan dijangka mula beroperasi menjelang akhir FY25.
Dengan andaian ini, Maybank IB berkata, kos operasi yang tinggi dijangka berterusan dalam jangka masa terdekat.
"Penangguhan operasi gudang tersebut dijangka melonjakkan kos kumpulan, MR DIY bukan lagi salah satu pilihan utama sektor kami," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Walaupun menghadapi cabaran ini, prestasi kewangan MR DIY kekal stabil.
MR DIY melaporkan keuntungan bersih 4Q24 sebanyak RM147 juta, menjadikan untung bersih FY24 mencecah RM569 juta, menandakan pertumbuhan sederhana 2% tahun ke tahun (YoY).
Pendapatan ini sebahagian besarnya selaras dengan jangkaan dalaman dan pasaran, masing-masing memenuhi 97% dan 95% unjuran dalaman dan konsensus.
Walaupun MR DIY mencatatkan keuntungan stabil ada suku tersebut, Maybank IB menjangkakan segmen penjualan akan terus menyusut sepanjang FY25.
"Ini menunjukkan sasaran pertumbuhan kedai baharu MR DIY telah mengatasi pertumbuhan perbelanjaan pengguna.
"Oleh itu, kami menurunkan unjuran pendapatan FY25 sehingga FY26 sebanyak 16% selepas mengambil kira purata penjualan rendah dan kos operasi tinggi.
Maybank IB juga menurunkan saranan kepada "pegang" ke atas saham MR DIY dengan haarga sasaran (TP) lebih rendah, " katanya- DagangNews.com








