Pertumbuhan Pekat diramal kukuh didorong buku tempahan terkumpul RM843 juta, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan Pekat diramal kukuh didorong buku tempahan terkumpul RM843 juta, kata Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 April – Prospek pertumbuhan Pekat Group Berhad sepanjang tahun ini diramal kekal utuh disokong oleh buku tempahan terkumpul yang berjumlah RM843 juta, menurut Phillip Capital.


Menurut firma penyelidikan tersebut, perkembangan positif itu sekali gus memberi perlindungan hasil yang stabil mencecah sehingga 1.4 kali ganda unjuran pendapatan kumpulan itu pada 2025.


Ujarnya, momentum pertumbuhan syarikat dipacu oleh model perniagaan pelbagai segmen merangkumi tenaga solar, selain kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (ELP) serta pengagihan tenaga (EPE).


“Segmen EPE kini menyumbang 43% kepada buku tempahan Pekat, diikuti solar (37%) dan ELP (18%), mencerminkan pengembangan kukuh merentas semua segmen,” kata Phillip Capital dalam notanya.


Prestasi segmen EPE jelasnya, melonjak lebih 100% tahun ke tahun (YoY) pada 2025, manakala solar berkembang 97% dan ELP meningkat 42%, sebahagian besarnya dipacu projek berkaitan pusat data (DC).


Pada masa sama ujarnya, pendedahan kepada projek DC dilihat sebagai pemangkin utama pertumbuhan seterusnya, dengan kumpulan itu kini membida dua kontrak DC di Johor bernilai sekitar RM100 juta.

 

Pekat_DagangNews


Selain itu tambah Phillip Capital, projek DC memberi kesan limpahan kepada keseluruhan ekosistem Pekat termasuk penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan penyelenggaraan berulang.


"Kami menjangkakan segmen ELP mencatat lonjakan pada 2026 susulan peningkatan permintaan projek DC, disokong rekod prestasi kukuh syarikat ini dalam banyak projek infrastruktur utama," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, aset solar berkapasiti 30MW dijangka mula beroperasi pada Mei 2026, dengan sumbangan pendapatan berulang sekitar RM10 juta setahun kepada kumpulan itu bermula 2027.


Dari segi kos, Phillip Capital berpandangan Pekat kekal terkawal setakat ini susulan strategi perolehan awal bahan mentah seperti panel solar, meskipun risiko geopolitik masih lagi dipantau.


Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.93, bersandarkan prospek pertumbuhan mampan serta kedudukan kukuh dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) dan DC.


"Bagaimanapun, antara risiko utama termasuk kelewatan pelaksanaan projek, perubahan dasar awam, persaingan sengit serta turun naik harga panel solar," katanya. - DagangNews.com