KUALA LUMPUR 26 Ogos - ITMAX System Bhd dijangka menikmati ruang pertumbuhan lebih besar menerusi perniagaan parkir pintar di Johor Bahru, susulan kebanyakan daripada 70,000 petak parkir yang diwartakan di bandar raya itu kini sudah pun aktif.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, keadaan itu berbeza berbanding fasa pertama pelaksanaan parkir pintar ITMAX yang memerlukan syarikat menanggung kos permulaan bagi mengaktifkan semula petak parkir.
Firma penyelidikan itu berkata, kutipan parkir di Johor Bahru juga jauh lebih tinggi, iaitu sekitar 30%, sekali gus memberikan potensi pertumbuhan tambahan kepada ITMAX.
"Menjelang FY27, pertumbuhan pendapatan akan dipacu oleh tambahan 2,000 unit CCTV di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), selain projek CCTV Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Walaupun dua projek terakhir akan diiktiraf di bawah segmen perkhidmatan pembekalan, pemasangan dan penyelenggaraan (SINMS), kami difahamkan margin keuntungannya secara amnya setanding dengan kontrak CCTV," katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut HLIB, segmen infrastruktur perkhidmatan digital (DSI) ITMAX turut mempunyai ruang untuk berkembang pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), disokong sumbangan penuh projek parkir pintar MBJB yang bermula pada 1 Mei lalu.
Sementara itu, ITMAX mencatat keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM30.5 juta bagi suku kedua FY26, meningkat 16.7% tahun ke tahun.
Bagi separuh pertama FY26, PATAMI teras meningkat 27.3% kepada RM55 juta, yang masing-masing mewakili 46% daripada unjuran setahun penuh HLIB dan 45% daripada konsensus.
HLIB mengekalkan saranan 'Beli' terhadap ITMAX dengan harga sasaran RM6.08 sesaham.
Prospek jangka panjang syarikat turut disokong landasan pertumbuhan yang luas bagi penggunaan CCTV di seluruh Malaysia, seiring agenda pendigitalan nasional dan pembangunan bandar pintar.
"Pelaksanaan semasa 10,000 unit CCTV ITMAX untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih kecil berbanding Singapura yang mempunyai 90,000 unit, manakala Singapura menyasarkan 200,000 unit menjelang 2030," katanya.
Dalam tempoh panjang, HLIB menjangkakan ITMAX turut berupaya memanfaatkan infrastrukturnya menerusi aplikasi bandar pintar seperti kembar digital, penilaian impak trafik dan analitik, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemudah cara transformasi digital bandar. - DagangNews.com








