Pertumbuhan IHH Healthcare dirangsang keperluan penjagaan kesihatan tempatan, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan IHH Healthcare dirangsang keperluan penjagaan kesihatan tempatan, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mac - IHH Healthcare Bhd diyakini terus mencatatkan pertumbuhan positif pada 2025 dirangsang keperluan penjagaan kesihatan di peringkat tempatan dan seluruh rantau serta dibantu kecekapan operasi, kata TA Securities.

 

Katanya, kumpulan itu dijangka mencatat peningkatan hasil dan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) masing-masing sebanyak 10.3% dan 9.9% kepada RM26.9 bilion dan RM6 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil pesakit asing Malaysia meningkat kepada 9.5% pada 4QFY24 disebabkan oleh pengambilalihan Island Hospital. 

 

"Melihat ke hadapan, kami menjangkakan margin EBITDA Malaysia kekal antara 23% hingga 25% pada FY25 dan pertumbuhan pendapatan akan datang daripada peningkatan jumlah pesakit dan intensiti hasil daripada kes yang lebih kompleks.

 

"Pemerolehan Pusat Perubatan Timberland baru-baru ini dan Island Hospital dijangka menyumbang EBITDA kira-kira RM200 juta pada FY25," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi FY24 susut kepada RM2.66 bilion berbanding RM2.95 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan penyedia penjagaan kesihatan bersepadu itu meningkat kepada RM24.38 bilion daripada RM20.93 bilion, didorong pertumbuhan berterusan dalam jumlah pesakit dan intensiti pendapatan di semua pasaran, masing-masing sebanyak 16% dan 17% berbanding FY23

 

IHH mengekalkan lembaran imbangan yang kukuh dengan aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi berjumlah RM3.1 bilion dan nisbah hutang bersih pada tahap sihat iaitu 0.39x.

 

TA Securities berkata, mengenai sistem penetapan harga kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) untuk mengawal bil hospital swasta, pihak pengurusan menyatakan, Kementerian Kesihatan mengumumkan tidak akan melaksanakan DRG buat masa ini.

 

Pengurusan menambah, penanggung insurans telah meminta diskaun antara 10% hingga 40% dan mengambil inisiatif dalam mengikat pakej. 

 

"Secara keseluruhan, kami percaya hospital akan terus melaksanakan pelbagai langkah pembendungan kos untuk menangani inflasi perubatan. Selain itu, ringgit yang lebih kukuh dijangka menyebabkan harga ubat dan peralatan yang lebih rendah," katanya. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) RM8.00 sesaham," katanya.- DagangNews.com