KUALA LUMPUR 7 Julai - Pertikaian cukai yang sedang dihadapi Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilihat berpunca daripada isu teknikal prosedur dan bukan pelanggaran asas, kata CGS International mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan, baru-baru ini.
Katanya, walaupun keputusan itu dilihat negatif pada pandangan awal namun ia sebenarnya berpunca daripada penggunaan jadual 7A oleh TNB - yang lazimnya digunakan untuk syarikat pembuatan - berbanding Jadual 7B yang lebih sesuai untuk syarikat utiliti.
Firma penyelidikan itu berkata, paling penting, mahkamah tidak menolak kelayakan tuntutan elaun cukai dan ia adalah sesuatu yang positif untuk syarikat utiliti tersebut.
“Berdasarkan semakan dan tafsiran asas kami terhadap Jadual 7A dan 7B, tiada perbezaan ketara dalam manfaat cukai yang ditawarkan oleh mana-mana jadual, dengan kedua-duanya menawarkan pelepasan teras yang hampir sama.
"Oleh itu, pandangan awal kami ialah liabiliti cukai keseluruhan sebahagian besarnya boleh dibandingkan di bawah mana-mana jadual," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: TNB berdepan tuntutan cukai RM5.05 bilion, keputusan mahkamah jejas pendapatan FY2025
CGS International berkata, Mahkamah Persekutuan turut mengakui tafsiran TNB—yang menganggap ia ‘mengeluarkan’ tenaga elektrik dan oleh itu layak di bawah Jadual 7A—bukanlah sesuatu yang tidak munasabah.
Katanya, pengiktirafan itu mungkin memainkan peranan dalam pertimbangan LHDN terhadap penyerahan semula tuntutan oleh TNB.
TNB dalam pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia menyatakan hasratnya untuk mengemukakan semula tuntutan di bawah Jadual 7B. Sekiranya LHDN menerima penyerahan semula ini, CGS International menjangkakan isu ini akan diselesaikan sebagai perkara pentadbiran semata-mata.
"Buat sementara waktu, TNB mungkin perlu membuat peruntukan sebanyak RM1.25 bilion dalam penyata kewangan 2025. Walaupun ini akan memberi kesan kepada pendapatan dilaporkan, ia tidak dijangka menjejaskan aliran tunai kumpulan. Peruntukan ini boleh diterbalikkan sekiranya keputusan berpihak kepada TNB.
"Bagaimanapun, kebimbangan lebih besar masih wujud. TNB masih berdepan beberapa pertikaian cukai lain dengan LHDN yang masih belum selesai, berjumlah kira-kira RM4.2 bilion.
"Dalam senario paling buruk—sekiranya semua tuntutan tidak berpihak kepada syarikat—kesan bersih keseluruhan boleh mencecah RM5.4 bilion," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pengumuman itu jelas merupakan satu tekanan bagi jangka masa pendek, mereka melihatnya lebih kepada isu bersifat prosedur, dengan laluan yang jelas bagi TNB untuk mengemukakan semula tuntutannya di bawah jadual cukai yang betul, sekali gus mengurangkan risiko kesan negatif dalam senario paling buruk.
"Kami percaya bahawa jadual tarif baharu dan tarif asas di bawah RP4 oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) baru-baru ini memberikan kejelasan yang diperlukan serta mengembalikan keyakinan terhadap keterlihatan aspek kawal selia.
"Komitmen kerajaan terhadap reformasi tenaga di bawah Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR) turut mengukuhkan peranan TNB sebagai pemacu utama dalam pelaksanaan agenda ini," katanya.- DagangNews.com








