Persidangan MUFG N0W buka peluang kerjasama tenaga mampan di Sarawak, Asia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persidangan MUFG N0W buka peluang kerjasama tenaga mampan di Sarawak, Asia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Mac - Persidangan MUFG N0W (Net Zero World) di Sarawak anjuran anak syarikat dari Jepun, Mitsubishi UFJ Financial Group Inc. (MUFG), MUFG Bank (Malaysia) Berhad, mewujudkan peluang kerjasama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan pertumbuhan mampan di Asia terutamanya di Sarawak.

 

Menghimpunkan lebih 100 pemimpin perniagaan, pembuat dasar, pakar industri dan rakan strategik dari pelbagai sektor, ia membincangkan cabaran serta peluang dalam pembangunan lestari di rantau berkenaan.

 

Persidangan tersebut turut menjadi platform utama bagi rangkaian serantau dan kepimpinan negara-negara dalam menggerakkan maklum balas dari sektor swasta dan awam bagi menghadapi cabaran iklim dan mencapai matlamat kelestarian.

 

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Abdul Aziz Dato Husain berkata, pihaknya menyokong Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 serta komitmennya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

 

"Dengan kerjasama rakan antarabangsa termasuk Jepun, SEDC menerajui inisiatif inovasi hidrogen hijau, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam tenaga mampan.

 

"SEDC komited dalam penggunaan teknologi canggih dan membina kerjasama global bagi memastikan Sarawak terus menjadi pemimpin dalam tenaga bersih dan kelestarian," katanya dalam satu kenyataan susulan persidangan itu, baru-baru ini.

 

Hadir sama pada persidangan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.

 

Persidangan MUFG N0W di Kuching itu, turut dianjurkan bersama oleh pasukan kewangan ESG MUFG bagi rantau Asia Pasifik (APAC).

 

Ia adalah lanjutan daripada kejayaan persidangan MUFG N0W yang pertama di Malaysia pada Mac tahun lalu.

 

MUFG telah berada di Malaysia hampir 70 tahun dan aktif bekerjasama dengan pelanggan korporat untuk memahami keperluan mereka dalam kelestarian. 

 

Ia turut membangunkan produk seperti pembiayaan hijau, pinjaman berkaitan kelestarian dan perdagangan hijau.

 

MUFG Malaysia telah dianugerahkan sebagai Bank Kelestarian Terbaik (Antarabangsa) oleh FinanceAsia untuk dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024.

 

Komitmen MUFG terhadap pertumbuhan Sarawak dapat dilihat melalui penyertaannya dalam persidangan belanjawan negeri Sarawak pada Disember lalu. 

 

Persidangan berkenaan adalah yang pertama di Malaysia yang merangka dasar pertumbuhan strategik terbaharu Sarawak.

 

MUFG juga membantu dalam perbincangan perkongsian awam-swasta untuk membuka peluang hijau di Sarawak.

 

Minggu lalu, MUFG menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan AFFIN Bank, yang dimiliki sebahagian besar oleh Sarawak, untuk memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang termasuk hubungan perniagaan Malaysia-Jepun dan peralihan hijau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MUFG Malaysia dan Ketua Negara bagi Malaysia, Motohide Okuda berkata, sokongan MUFG terhadap pertumbuhan Sarawak sejajar dengan komitmennya yang lebih luas terhadap Malaysia. 

 

"Kami berhasrat untuk memanfaatkan kepakaran dalam pembiayaan ESG serta rangkaian serantau bagi memperkukuh kerjasama yang dapat menyokong matlamat Sarawak dalam pembangunan mampan dan inovasi hijau.

 

"Persidangan MUFG N0W kali ini membuktikan keupayaan kami dalam menghubungkan teknologi terbaik dari Jepun dengan kekayaan sumber tenaga hijau di Malaysia bagi membuka peluang pertumbuhan baharu yang lebih menarik," ujarnya. - DagangNews.com