KUALA LUMPUR 25 Mac - Kerajaan digesa menyediakan garis panduan yang jelas dan praktikal berhubung pengisian bahan api ke dalam bekas bagi memastikan penguatkuasaan tidak membebankan pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Dr T. Saravanan berkata persatuan itu bersetuju dengan sekatan penggunaan bahan api kepada kenderaan bagi memastikan kestabilan bekalan.
“Namun, terdapat kegunaan petrol yang sah selain untuk kenderaan, seperti bagi jentera kecil atau situasi kecemasan.
“Kerajaan perlu menyediakan garis panduan jelas mengenai pengecualian dan memastikan penguatkuasaan tidak terlalu membebankan,” katanya kepada New Straits Times.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali semalam pembelian bahan api dan mengisinya ke dalam bekas, bukannya tangki kenderaan, tanpa permit adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan.
Pada Januari lalu, Armizan memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan melarang pembelian bahan api dalam bekas melebihi 20 liter tanpa permit.
Saravanan berkata, pihak berkuasa juga perlu menjelaskan sama ada langkah itu bersifat sementara serta dalam keadaan apa ia akan dikaji semula.
Tambahnya, mekanisme juga perlu diwujudkan bagi mencegah pembelian panik, termasuk penyebaran maklumat tepat pada masanya dan pemantauan rantaian bekalan.
Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Yusrizal Yusoff pula menggesa kerajaan mempercepatkan pengeluaran permit kepada pengguna sah, sambil menyatakan sektor seperti pertanian bergantung kepada bahan api yang disimpan dalam bekas.
Beliau berkata sekatan masih diperlukan bagi memastikan kelestarian bekalan, khususnya ketika ketegangan di Timur Tengah mempengaruhi pasaran global.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa penguatkuasaan diperkukuh bagi membendung pembelian panik dan aktiviti penyeludupan.
“Lebih ramai anggota perlu ditempatkan, mungkin sokongan sukarelawan boleh dipertimbangkan memandangkan tenaga kerja kementerian mungkin terhad,” katanya, sambil menambah pengusaha stesen minyak juga perlu menolak pembelian berlebihan.
Beliau berkata kebimbangan terhadap kemungkinan kekurangan bahan api telah mencetuskan keresahan dalam kalangan pengguna.
“Apabila orang melihat laporan dari luar negara, termasuk insiden di Thailand di mana orang ramai berebut mendapatkan bahan api, ada yang mula bimbang petrol akan kehabisan di sini juga,” katanya.








