Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak gesa KKM semak semula yuran perundingan doktor am | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak gesa KKM semak semula yuran perundingan doktor am

Gambar Mufid Majnun/Unsplash

KUALA LUMPUR 30 Dis - Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyemak semula dan mengemas kini jadual yuran perundingan doktor am (GP), yang kekal tidak berubah selama lebih 20 tahun. 

 

Presidennya, Dr. Liew Shan Fap berkata, perubahan perlu dilakukan kerana ia boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk terus menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pesakit.


 
"Jadual yuran perundingan doktor am yang diperkenalkan pada tahun 2002 dalam Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta pada 2006, masih tidak berubah selepas lebih dua dekad.

 

"Ia mengancam kelestarian golongan berkenaan dan berisiko menjejaskan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan primer," katanya pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-50 persatuan itu, baru-baru ini seperti laporan The Borneo Post.

 

Sehubungan itu katanya, persatuan menggesa kementerian segera menyemak yuran tersebut bagi memastikan doktor am mendapat pampasan yang wajar sekali gus membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang baik.

 

Dr. Liew juga menekankan peranan penting penjagaan kesihatan swasta dalam ekosistem kesihatan negara, dengan menyatakan bahawa klinik dan hospital swasta sering dipilih kerana kecekapan, kesinambungan penjagaan dan hubungan yang kukuh antara doktor dan pesakit.

 

Bagaimanapun, beliau memberi amaran, untuk mengekalkan kelebihan itu, ia tidak seharusnya mengorbankan kemampuan untuk diakses orang ramai termasuk caj tinggi yang sering dikenakan klinik dan hospital swasta. - DagangNews.com