Persatuan Kayu-kayan Sarawak gesa kerajaan negeri beri penjelasan yuran tinggi di bawah FWTA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persatuan Kayu-kayan Sarawak gesa kerajaan negeri beri penjelasan yuran tinggi di bawah FWTA

Gambar: Borneo Post

KUALA LUMPUR 28 Mac - Persatuan Kayu-kayan Sarawak (STA) menggesa kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai yuran tinggi yang dikenakan di bawah Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) dan penerimanya.

 

Pengerusinya, Datuk Henry Lau dalam ucapannya semasa mesyuarat agung tahunan persatuan itu, menekankan walaupun FWTA bertujuan meningkatkan kecekapan tetapi ia memberi beban kewangan besar kepada perniagaan.

 

“Dengan bayaran RM1,854 setiap pekerja, syarikat terpaksa menanggung tambahan kos buruh RM2 juta bagi setiap 1,000 pekerja asing. 

 

"Berdasarkan 100,000 pekerja asing di Sarawak, ini akan berjumlah lebih RM100 juta untuk yuran.

 

“Walaupun kami menyokong usaha itu tetapi pada masa sama menggesa kerajaan Sarawak untuk memberi penjelasan bayaran yang tinggi dan memberitahu siapa yang akan mendapat manfaat daripada caj ini,” katanya.

 

sta

 

Henry berkata, industri perkayuan sudah pun menghadapi pelbagai tekanan ekonomi, termasuk ketegangan geopolitik global dan peraturan baharu mengenai penebangan hutan dan pelepasan karbon, yang telah meningkatkan kos operasi.

 

Beliau berkata, cabaran itu ditambah lagi dengan kenaikan gaji minimum RM1,700 dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mandatori yang akan datang untuk pekerja asing.

 

"Ini boleh menjejaskan daya saing kami dengan teruk, terutamanya dalam pasaran eksport, di mana kecekapan kos amat diutamakan," katanya.

 

Beliau berkata, persatuan itu akan terus terlibat dengan pelbagai agensi Sarawak dan pihak berkepentingan industri bagi mencari penyelesaian seimbang yang sejajar dengan dasar kerajaan sambil memastikan kemampanan industri perkayuan.

 

“Kami berharap kerajaan akan menyokong peranan STA dalam memperjuangkan penambahbaikan industri perkayuan di Sarawak,” katanya.- DagangNews.com