KUALA LUMPUR 30 April – Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) melantik semula Ng Kok Kheng sebagai Pengerusinya bagi penggal 2026 hingga 2028 yang berkuat kuasa 29 April 2026 sekali gus mengekalkan kesinambungan kepimpinan dalam industri insurans am negara.
Ng merupakan pengarah bebas dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri insurans, selain mempunyai latar belakang luas dalam tadbir urus korporat dan pembangunan sektor kewangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIG Malaysia Insurance Berhad, Antony Lee turut dikekalkan sebagai Timbalan Pengerusi PIAM bagi penggal yang sama.
Dalam kenyataan selepas pelantikan semula itu, Ng berkata beliau berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli lembaga dan menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh daya tahan industri insurans negara.
“PIAM akan memberi tumpuan kepada cabaran utama industri termasuk reformasi kawal selia, transformasi teknologi seperti pendigitalan selain ketidaktentuan ekonomi global serta peningkatan risiko perubahan iklim.
“Persatuan juga akan terus memainkan peranan sebagai suara utama industri insurans am di Malaysia dengan bekerjasama bersama 23 syarikat ahli bagi memastikan ekosistem yang lebih stabil, mampan dan berdaya tahan.
“Matlamat utama PIAM adalah untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada perlindungan insurans yang menyeluruh merangkumi individu, perniagaan dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, Ng turut merakamkan penghargaan kepada ahli lembaga yang sudah tamat perkhidmatan iaitu Fukhairudin Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Insurance Bhd, serta Puneet Pasricha, Ketua Pegawai Eksekutif Liberty General Insurance Bhd atas sumbangan mereka kepada industri.
Barisan Lembaga PIAM yang baharu turut dianggotai tokoh industri utama termasuk Gary Hoo (AIA General Bhd), Fabrice Benard (Generali Insurance Malaysia Bhd), Jeremy Yeap (Great Eastern General Insurance Malaysia Bhd) dan James Ng (Hannover Re Malaysian Branch).
Selain itu ialah Balasubramanian Nagarajan (Swiss Re Malaysia Branch), Ng Hang Ming (Tokio Marine Insurans Malaysia Bhd), Jef Tio (QBE Insurance Malaysia Bhd) dan Junior Cho (Zurich General Insurance Malaysia Bhd). - DagangNews.com








