Persaingan sengit harga produk mula jejaskan prospek jangka pendek CelcomDigi, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persaingan sengit harga produk mula jejaskan prospek jangka pendek CelcomDigi, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Mei – Persaingan harga produk yang semakin sengit dalam industri telekomunikasi serta kos tinggi pembangunan rangkaian 5G dilihat mula memberi tekanan kepada CelcomDigi Berhad.


Menurut penganalisis, situasi berkenaan dikhuatiri menjejaskan prospek jangka pendek walaupun syarikat itu terus berupaya mencatat pertumbuhan keuntungan dan kemajuan integrasi selepas penggabungan.


Dua firma penyelidikan namun memberi pandangan berbeza terhadap potensi syarikat telekomunikasi tersebut selepas keputusan suku pertama FY26 yang dianggap masih berada dalam jangkaan pasaran.


Antaranya, Phillip Capital yang menilai keuntungan teras CelcomDigi bagi 1QFY26 naik 10% tahun ke tahun (YoY) kepada RM417 juta, disokong penambahbaikan margin kasar daripada pengoptimuman kos.


"Bagaimanapun, kami masih lagi berpandangan prestasi operasi keseluruhan kumpulan ini terus dilihat sebagai bercampur-campur apabila segmen prabayar terus mencatat kelemahan," katanya.


Hasil kumpulan berkenaan ujarnya dalam nota analisis, kekal mendatar pada RM3.2 bilion apabila pertumbuhan hasil pascabayar sebanyak 3% diimbangi pula kemerosotan hasil prabayar sebanyak 3%.


Ujar Phillip Capital, jumlah pelanggan prabayar susut 8% kepada 12 juta pengguna disebabkan isu perubahan strategi CelcomDigi mengurangkan pergantungan terhadap pemerolehan kad sim sekali beli.


Sebaliknya, dua segmen lain menunjukkan momentum positif dengan pelanggan pascabayar meningkat baik kepada 6.1 juta, manakala pelanggan kediaman melonjak 56% kepada seramai 297,000 pengguna.


"Kami namun mendapati faktor tekanan persaingan harga di pasaran dijangka mengehadkan pertumbuhan purata hasil setiap pengguna (ARPU) ke atas kumpulan ini dalam tempoh yang terdekat," tambahnya.


Artikel berkaitan: Untung bersih CelcomDigi naik 8.8% kepada RM422 juta bagi 1QFY26 didorong pengurusan kos lebih cekap

 

CelcomDigi_DagangNews

 

Phillip Capital turut menyuarakan kebimbangan terhadap risiko pelaksanaan rangkaian 5G serta isu pegangan CelcomDigi sebanyak 33% dalam Digital Nasional Berhad (DNB) yang masih mencatat kerugian.


Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan terus lagi mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham  kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM3.31 berbanding RM3.47 sebelum ini.


Sebaliknya TA Securities berbeza pandangannya dengan mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat telekomunikasi tersebut walaupun menurunkan TP kepada RM4.11 daripada RM4.35 sebelum ini.


"Proses integrasi antara Celcom dan Digi kini di landasan tepat selepas berjaya diselesaikan sebahagian besar integrasi rangkaian serta penyatuan sistem teknologi maklumat (IT)," katanya.


Di samping itu menurutnya lagi, pengurusan CelcomDigi menyasarkan penjimatan kos operasi (opex) sebanyak RM390 juta bagi FY26, melalui pengoptimuman kos operasi tapak dan kecekapan perolehan.


Selain itu jelas TA Securities, syarikat berkenaan juga dijangka merekodkan penjimatan kos jualan (COGS) sebanyak RM75 juta menerusi usaha pengurusan trafik dan operasi 'backhaul' lebih optimum.


Di samping itu kata firma penyelidikan tersebut, segmen kediaman terus menjadi pemacu utama pertumbuhan apabila hasil naik 61.8% kepada RM89 juta disokong pertambahan pelanggan yang kukuh.


"Kami turut berpandangan yang impak kewangan melalui 33.3% ekuiti CelcomDigi dalam DNB dijangka masih terkawal apabila transaksi tersebut hanya dimuktamadkan pada separuh kedua 2026," tambahnya.


TA Securities turut menilai keputusan kewangan bagi 1QFY26, apabila kumpulan berkenaan mengumumkan pengagihan dividen interim pertama hanya sebanyak 3.4 sen sesaham berbanding 3.7 sen setahun lalu.


Menurut pengurusan syarikat, kadar dividen lebih rendah itu dibuat sebagai langkah berhati-hati susulan ketidaktentuan ekonomi global dan keperluan pembiayaan pembangunan rangkaian 5G. - DagangNews.com