KUALA LUMPUR 13 Mei – CelcomDigi Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 8.8% kepada RM422 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Peningkatan prestasi ini disumbangkan terutamanya oleh pengurusan kos yang lebih berdisiplin serta ketiadaan kos integrasi sekali sahaja berjumlah RM40.3 juta dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Menurut makluman syarikat telekomunikasi itu kepada Bursa Malaysia, jumlah kos menurun kira-kira 3.5% atau RM66 juta, yang merangkumi penurunan kos barangan dijual (COGS) dan perbelanjaan operasi (opex).
"Inisiatif kecemerlangan operasi turut menjana penjimatan bersih sebanyak RM40 juta yang merentasi COGS dan opex melalui sistem automasi serta operasi dipacu kecerdasan buatan (AI)," jelas CelcomDigi.
Meskipun pasaran dilihat sebagai kompetitif, perolehan syarikat itu masih kekal stabil pada RM3.21 bilion, dengan segmen pascabayar menyaksikan berlaku penambahan bersih seramai 25,000 pelanggan.
Sementara segmen kediaman dan gentian (H&F) mencatatkan lonjakan kira-kira 47.8%, sekali gus dapat membantu dalam mengimbangi penurunan strategik perolehan dari segmen prabayar dan jualan peranti.
Lembaga Pengarah CelcomDigi turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 3.4 sen sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2026, serta akan dibayar bermula pada 30 Jun 2026.
"Melangkah ke hadapan, syarikat mengekalkan panduan kewangannya bagi tahun ini dengan menyasarkan pertumbuhan satu digit rendah ke atas perolehan perkhidmatan dan keuntungan kasar," tambahnya.
Kumpulan tersebut ujar makluman itu, kini fokus untuk memanfaatkan rangkaian teknologi 4G yang dimodenkan bersama akses kepada infrastruktur 5G dikendalikan oleh Digital Nasional Berhad (DNB).
Usaha tersebut jelas CelcomDigi, dijangka mampu dalam memberikan pelbagai pengalaman rangkaian telekomunikasi moden yang unggul kepada semua pelanggan di pasaran negara ini. - DagangNews.com








