Permintaan tinggi solar beri kelebihan kepada Samaiden, RHB Research ramal untung 3QFY26 naik 60% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan tinggi solar beri kelebihan kepada Samaiden, RHB Research ramal untung 3QFY26 naik 60%

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 Mei – Kenaikan permintaan terhadap pemasangan panel solar susulan kebimbangan bil elektrik yang semakin mahal dijangka memberi kelebihan besar kepada Samaiden Group Berhad

 

Berdasarkan kepada situasi tersebut, RHB Research meramalkan keuntungan suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) syarikat berkenaan mampu meningkat lagi sehingga mencecah 60% tahun ke tahun (YoY).

 

Firma tersebut berkata, kumpulan itu dijangka mencatat keuntungan teras sekitar RM7 juta hingga RM8 juta bagi 3QFY26 yang akan diumumkan pada 19 Mei 2026, dipacu kemajuan projek solar dan margin.

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Samaiden dengan harga sasaran (TP) baharu iaitu RM1.76 berbanding RM1.63 sebelum ini, yang menawarkan potensi kenaikan sekitar 39%," katanya.

 

Menurut RHB Research, peningkatan permintaan solar semakin ketara selepas kerajaan mengurangkan rebat 'Automatic Fuel Adjustment' (AFA) kepada 0.47 sen/kWh daripada 2.15 sen/kWh pada April 2026.

 

Keadaan itu menyebabkan purata bil elektrik bulanan naik 4%, selain Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka mungkin mengenakan surcaj tambahan 0.08 sen/kWh pada Julai 2026 yang meningkatkan lagi tarif.

 

Situasi ini ujarnya, dilihat sebagai pemangkin baharu kepada penggunaan tenaga solar yang ditawarkan Samaiden, disokong inisiatif kerajaan seperti 'Solar Accelerated Transition Action Programme' (ATAP).

 

Samaiden_DagangNews


 

"Peralihan bentuk tenaga elektrik berkenaan turut sejajar dengan komitmen pihak berkuasa Malaysia untuk mencapai sasaran misi pelepasan sifar karbon bersih menjelang 2050,” tambah RHB Research.

 

Di samping itu jelas firma penyelidikan tersebut, Samaiden pada ketika ini mempunyai buku tempahan yang kukuh dengan mencecah nilai RM600.5 juta setakat direkodkannya bagi separuh pertama FY26.

 

Daripada jumlah itu katanya, kira-kira 75% terdiri daripada kontrak solar berskala utiliti, 20% segmen komersial dan industri, manakala baki 5% melibatkan projek solar bumbung dan lain-lain.

 

RHB Research menjangka prestasi separuh kedua FY26 lebih kukuh apabila banyak kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek solar berskala besar (LSS) mula diiktiraf.

 

"Samaiden turut mahu membida tender LSS6 berkapasiti 2GW yang dijangka dibuka kerajaan berbanding unjuran awal pada suku kedua susulan ketidaktentuan pasaran akibat konflik Timur Tengah," katanya.

 

Sehubungan itu, firma tersebut berpandangan, perkembangan ini bakal mencetuskan satu lagi kitaran pertumbuhan baharu kepada pemain solar EPCC yang berpengalaman luas seperti kumpulan berkenaan.

 

Susulan prospek positif, RHB Research menaikkan unjuran hasil FY26 hingga FY28 masing-masing 9.2%, 10.7% dan 8.6% selepas diambil kira andaian pengisian semula buku tempahan lebih tinggi. - DagangNews.com