Permintaan sektor sarung tangan dijangka pulih pada separuh kedua 2025, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan sektor sarung tangan dijangka pulih pada separuh kedua 2025, kata Kenanga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - Permintaan bagi sektor sarung tangan Malaysia dijangka pulih pada separuh kedua 2025 (2H25) dipacu tahap inventori semasa yang rendah, menurut Kenanga Research.

 

Katanya, selepas pergerakan inventori yang perlahan pada 1H25 akibat kesan pembelian awal daripada pelanggan Amerika Syarikat (AS) daripada pengeluar China, keadaan itu berkemungkinan mencetuskan lonjakan mendadak dari segi tempahan.

 

Firma penyelidikan itu percaya, kebimbangan semasa mengenai pengeluar sarung tangan China yang terus menurunkan harga jualan purata (ASP) adalah keterlaluan, memandangkan ASP semasa sekitar AS$15 hingga AS$17 bagi setiap 1,000 keping masih tinggi berbanding kitaran penurunan sebelum ini iaitu AS$13 bagi setiap 1,000 keping.

 

"Bukti menunjukkan, walaupun terdapat gangguan berkaitan tarif, pelanggan hanya boleh menangguhkan pembelian mereka untuk satu tempoh yang terhad.

 

"Berdasarkan kitaran penurunan sebelum ini, harga saham pengeluar sarung tangan Malaysia akan dinaik taraf semula sebaik sahaja kebimbangan terhadap ASP reda dan permintaan kembali meningkat kepada pengeluar sarung tangan Malaysia," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, keputusan Kesatuan Eropah (EU) dan tarif AS terhadap pengeluar sarung tangan China berpotensi memberi manfaat kepada pengeluar sarung tangan Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan permintaan yang berpotensi akan menjadi rangsangan tambahan kepada syarikat tempatan, di samping jangkaan pengembangan dalam pasaran sarung tangan getah AS.

 

Dengan andaian tempahan dari EU dan AS kembali meningkat secara beransur-ansur kepada pengeluar sarung tangan Malaysia pada 2H25, firma penyelidikan itu menjangkakan Malaysia boleh menyaksikan jumlah keseluruhan tempahan sebanyak 70 bilion keping iaitu 35 bilion dari EU dan 35 bilion dari AS.

 

“Walaupun prestasi pendapatan mungkin kekal lemah dalam jangka masa terdekat, permintaan struktur dan rasionalisasi penawaran menawarkan potensi kenaikan jangka panjang.

 

“Kami memilih pendedahan secara selektif kepada syarikat berkualiti seperti Hartalega Holdings Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd,” katanya. - DagangNews.com