KUALA LUMPUR 17 Mac - Permintaan berterusan terhadap rumah mampu milik dijangka terus menyokong pertumbuhan pendapatan Scientex Berhad dalam tempoh beberapa tahun akan datang, menurut penganalisis.
Firma penyelidikan BIMB Securities berkata kumpulan itu disokong oleh bank tanah yang besar seluas kira-kira 11,000 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM50 bilion.
Dengan model pembangunan bandar bersepadu yang diseragamkan serta keupayaan kontraktor dalaman, Scientex dijangka meningkatkan jualan tahunan daripada sekitar 6,000 unit ketika ini kepada antara 8,000 hingga 10,000 unit dalam beberapa tahun akan datang.
Menurut BIMB Securities, momentum pelancaran projek juga dijangka bertambah kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26), dengan sasaran pelancaran bagi tahun kewangan 2026 (FY26) sebanyak RM3 bilion berbanding RM2.5 bilion pada FY25.
Ini sekali gus memberikan keterlihatan yang lebih baik terhadap bil progresif yang akan menyumbang kepada unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2027.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham Scientex dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.91, sambil menyifatkan syarikat tersebut sebagai proksi menarik kepada permintaan struktur rumah mampu milik di Malaysia serta penyelesaian pembungkusan mampan.
Dalam pada itu, Kenanga Research berkata prestasi kukuh segmen perumahan mampu milik, khususnya di wilayah selatan, turut menjadi faktor yang menyokong prospek pertumbuhan kumpulan.
Bagi bahagian hartanah, jualan rumah mampu milik dijangka kekal berdaya tahan susulan kadar pengambilan yang menggalakkan bagi projek pelancaran terkini.
Setakat suku pertama tahun kewangan 2026 (1Q26), jualan belum dibil kumpulan itu meningkat kepada RM2 bilion berbanding RM1.9 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2025.
Dalam segmen pembungkusan pula, Kenanga Research menjangkakan peningkatan prestasi dalam tempoh terdekat berikutan kenaikan harga resin yang membolehkan syarikat menaikkan purata harga jualan bagi produk pembungkusannya.
Selain itu, gangguan tarif Amerika Syarikat dijangka sebahagiannya dapat diimbangi oleh kilang Scientex di negara tersebut yang berpotensi mencatat margin lebih baik dalam tempoh terdekat, walaupun ia menyumbang kurang daripada 10% kepada jumlah hasil pembungkusan kumpulan.
Sehubungan itu, Kenanga Research mengekalkan penarafan “Outperform” terhadap saham Scientex dan menaikkan harga sasaran kepada RM3.78 berbanding RM3.60 sebelum ini. - DagangNews.com








