Permintaan produk farmaseutikal Apex Healthcare diramal terus kukuh, kata PublicInvest  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan produk farmaseutikal Apex Healthcare diramal terus kukuh, kata PublicInvest 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - PublicInvest kekal optimis terhadap prospek Apex Healthcare Bhd didorong oleh permintaan produk farmaseutikal, produk penjagaan kesihatan pengguna dan peranti perubatan kekal teguh. 

 

Firma penyelidikan itu juga meramalkan permintaan produk farmaseutikal merentasi kedua-dua pasaran domestik dan antarabangsa pada 2024, dengan momentum dijangka berterusan sehingga 2025. 

 

"Ramalan positif ini disokong oleh permintaan yang berterusan untuk ubat-ubatan penting, didorong oleh peningkatan keperluan penjagaan kesihatan dan anjakan demografi memandangkan populasi yang semakin tua. 

 

"Selain itu, kami menjangkakan pengembangan Apex Healthcare ke pasaran antarabangsa baharu, disokong oleh saluran paip produk generik permintaan tinggi yang semakin berkembang dapat menyediakan peluang pertumbuhan selanjutnya," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Keuntungan bersih Apex Healthcare Bhd jatuh 33.6% kepada RM13.46 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) daripada RM20.06 juta setahun lalu, yang dikaitkan dengan bahagian kerugian berjumlah RM6.6 juta daripada syarikat bersekutu Straits Apex Group Sdn Bhd (SAG) pada suku di bawah semakan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), Apex Healthcare mencatat penurunan 80.8% dalam keuntungan bersih kepada RM76.54 juta daripada RM397.99 juta tahun sebelumnya, disebabkan bahagian kerugian daripada SAG.

 

Ini berlaku walaupun hasil meningkat 2.7% kepada RM961.78 juta daripada RM936.17 juta pada FY23, yang dikaitkan dengan permintaan yang berterusan untuk produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam pasaran utamanya, dan pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan.

 

Selepas pengumuman keputusan kewangan Apex Healthcare, firma penyelidikan itu menurunkan unjuran hasil kumpulan pada FY25 sehingga FY26 sebanyak 15% selepas mengambil kira pendapatan yang lebih rendah daripada SAG. 

 

Oleh itu, PublicInvest mengekalkan saranan "neutral" ke atas Apex Healthcare, dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah sebanyak RM2.36 sesaham.- DagangNews.com