Permintaan pengguna terhadap barangan bukan keperluan perlahan, 3QFY26 AEON dijangka lebih lemah – Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan pengguna terhadap barangan bukan keperluan perlahan, 3QFY26 AEON dijangka lebih lemah – Penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Prestasi AEON Co. (M) Berhad dijangka lebih lemah pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) disebabkan permintaan pengguna yang lebih berhati-hati terhadap barangan bukan keperluan, kata penganalisis.

 

Kos utiliti turut dijangka memberi tekanan kepada keuntungan kerana ia biasanya menyumbang sekitar 10% hingga 15% daripada kos operasi kumpulan, selain penyambungan semula kerja pengubahsuaian. 

 

Namun, penganalisis masih menjangka prestasi FY26 kekal berdaya tahan, disokong campuran produk yang lebih baik, perbelanjaan pengguna yang stabil serta peningkatan produktiviti pusat beli-belah dan kedai.

 

Perkhidmatan pengurusan hartanah terus kukuh

Walaupun 3QFY26 dijangka lebih mencabar, tiga firma penyelidikan iaitu MBSB Research, RHB Research dan TA Securities semuanya mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap AEON, menunjukkan ketiga-tiga firma itu masih melihat prospek syarikat secara positif.

 

Persamaan utama mereka ialah kekuatan segmen perkhidmatan pengurusan hartanah (PMS) membantu mengimbangi kelemahan perniagaan runcit. 

 

Bagi 1HFY26, hasil PMS meningkat 3.5% kepada RM412.5 juta, manakala keuntungan operasi melonjak 25.1% kepada RM206.5 juta. 

 

Ketiga-tiga firma itu juga melihat peningkatan keuntungan kumpulan sebagai perkembangan positif. Hasil 1HFY26 turun sedikit 0.3% kepada RM2.24 bilion, tetapi keuntungan teras meningkat sekitar 19% hingga 20%, menunjukkan sumbangan PMS yang lebih kukuh membantu prestasi keseluruhan kumpulan. 

 

MBSB Research mengekalkan saranan ‘Beli’ dan menaikkan harga sasaran AEON kepada RM1.61 daripada RM1.47 serta menaikkan unjuran keuntungan FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 9%, 5% dan 19%, selepas keputusan 1HFY26 melebihi jangkaannya. 

 

MBSB Research berkata keuntungan teras 2QFY26 meningkat 12% kepada RM14.9 juta, manakala keuntungan teras bagi 1HFY26 meningkat 19.7% kepada RM98.9 juta. 

 

“Jumlah itu masing-masing mewakili 69% daripada unjuran keuntungan setahun kami dan 64% daripada jangkaan pasaran. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Segmen peruncitan AEON 1HFY26 susut kepada RM1.83 bilion, pengguna berhati-hati berbelanja

 

“PMS terus menyediakan sumber pendapatan yang lebih stabil kepada AEON menerusi kadar penghunian yang stabil, pembaharuan sewaan dan pengoptimuman campuran penyewa,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Namun, firma itu berkata momentum jualan runcit, margin PMS, jualan penyewa dan kawalan kos perlu terus diberi perhatian. 

 

Tiga firma penyelidikan kekal saranan ‘Beli’

RHB Research pula mengekalkan saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran RM1.52 dan menyifatkan keputusan 1HFY26 sebagai lebih baik daripada jangkaan, walaupun hasil kumpulan hampir tidak berubah kerana pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan bukan keperluan.  

 

RHB Research berkata prestasi pada 1HFY26 disokong kadar penghunian yang tinggi dan peningkatan kadar sewaan, selain kos hartanah yang lebih rendah selepas pelarasan tarif utiliti. 

 

Firma itu menjangkakan keuntungan bersih berulang AEON meningkat kepada RM158 juta pada FY26 daripada RM150 juta pada FY25. 

 

“Kami juga melihat penilaian saham masih menarik dengan nisbah harga kepada keuntungan berulang sekitar sembilan kali dan hasil dividen kira-kira 5% bagi FY26,” katanya.

 

Bagi TA Securities, firma itu mengekalkan saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran RM1.42 sesaham berdasarkan kaedah Penilaian Aliran Tunai Dividen. Unjuran keuntungan bagi FY26 hingga FY28 turut dikekalkan tanpa perubahan.

 

TA Securities mengunjurkan keuntungan bersih terlaras AEON sebanyak RM161.1 juta bagi FY26, RM175.4 juta bagi FY27 dan RM187.7 juta bagi FY28. Unjuran FY26 itu lebih tinggi daripada jangkaan pasaran sebanyak RM154.3 juta.

 

TA Securities kekal lebih berhati-hati terhadap separuh kedua FY26 kerana menjangkakan permintaan lebih perlahan pada 3QFY26, kos utiliti lebih tinggi dan kerja pengubahsuaian disambung semula. 

 

“Namun, kami menjangka AEON mampu mencatat prestasi FY26 yang berdaya tahan melalui campuran produk lebih baik, perbelanjaan pengguna yang stabil serta peningkatan produktiviti pusat beli-belah dan kedai,” katanya. - DagangNews.com