Permintaan kukuh dari Asia dorong perniagaan cip Mi Technovation | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan kukuh dari Asia dorong perniagaan cip Mi Technovation

KUALA LUMPUR 25 Jun - Mi Technovation Bhd menjangka, permintaan dari negara-negara Asia yang semakin meningkat serta pelancaran produk baharu akan membantu mengukuhkan perniagaan peralatan semikonduktornya tahun ini.

 

Ketua unit peralatan syarikat, Teo Chee Kheong berkata, pengedaran produknya ke China, Taiwan dan Asia Tenggara semakin bertambah, sementara Vietnam sebagai pasaran baharu turut menunjukkan permintaan tinggi. 

 

Katanya, Malaysia dan Singapura juga dijangka menyumbang lebih kepada jualan tahun ini.

 

"Jualan pada tahun ini dijangka lebih baik berbanding tahun lalu," katanya kepada The Edge.

 

Mi Technovation menjual peralatan dan bahan untuk industri semikonduktor, di mana unit peralatan menyumbang hampir separuh daripada pendapatan kumpulan.

 

Pendapatan selebihnya datang daripada segmen bahan.

 

Unit rumusan baharu syarikat yang membekalkan cip seperti silicon carbide dan gallium nitride yang penting untuk tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik, mula menyumbang kepada hasil syarikat buat pertama kali tahun lalu.

 

Mi Technovation turut menerima manfaat daripada lonjakan permintaan apabila syarikat-syarikat mempercepat pesanan sebelum dikenakan tarif, walaupun hanya sekitar 2% jualannya datang terus dari pasaran Amerika Syarikat (AS).

 

Dalam tiga bulan pertama 2025, Taiwan menjadi pasaran terbesar syarikat dengan menyumbang lebih satu pertiga daripada hasil, diikuti China sebanyak 30%. 

 

Pendapatan selebihnya datang daripada Asia Tenggara, India, Korea Selatan, Jepun dan Amerika Utara.

 

Chee Kheong turut memaklumkan, syarikat akan melancarkan peralatan 'bonding' baharu berkelajuan tinggi tahun depan, yang kini sedang diuji. 

 

Peralatan itu digunakan untuk menyambungkan cip kepada papan asas dan menerima maklum balas positif daripada pelanggan dalam sektor pelayan dan elektronik pengguna.

 

Saham Mi Technovation naik lebih 30% sejak merosot pada April lalu akibat isu tarif AS, namun setakat ini, harga saham masih mencatat kerugian sebanyak 16% untuk tahun ini.

 

Mi Technovation membekalkan peralatan kepada syarikat yang menyediakan perkhidmatan pemasangan dan ujian cip seperti Inari Amertron Bhd*, serta pengeluar peranti seperti ASE Group.

 

Dalam laporan tahunan yang dikeluarkan pada April lalu, Ketua Pegawai Eksekutif, Oh Kuang Eng mengakui, tahun 2025 dijangka mencabar, namun syarikat masih melihat banyak peluang.

 

Menurutnya, prospek industri semikonduktor adalah bercampur-campur, dengan pertumbuhan didorong oleh produk berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi automotif. 

 

"Secara keseluruhan, kami mengambil pendekatan berhati-hati terhadap prospek syarikat bagi 2025," katanya. - DagangNews.com