KUALA LUMPUR 18 Mei – Kenanga Research memulakan liputan terhadap SkyeChip Bhd dengan saranan “Outperform” serta menetapkan harga sasaran RM2 sesaham, iaitu lebih dua kali ganda daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat pada 88 sen.
Firma penyelidikan itu berkata, harga sasaran tersebut adalah berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (price-to-earnings, P/E) sebanyak 50 kali ke atas pendapatan sesaham SkyeChip bagi 2027.
Menurut Kenanga Research, penilaian tersebut masih mewakili diskaun sekitar 28 peratus berbanding syarikat setara serantau dan tempatan dalam industri reka bentuk litar bersepadu.
“Penilaian itu wajar memandangkan SkyeChip merupakan antara syarikat reka bentuk IC tersenarai yang selari dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh kedudukan dalam rantaian nilai semikonduktor global.
“SkyeChip mempunyai keupayaan teknikal yang setanding dengan pemain serantau dalam industri tersebut. Selain itu, syarikat berkenaan dilihat berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan terhadap cip khusus yang digunakan dalam pelbagai aplikasi teknologi,” kata Kenanga dalam nota kajiannya.
Kenanga Research berkata, prestasi SkyeChip juga disokong oleh kemampuan pelaksanaan projek yang kukuh serta pengembangan portfolio harta intelek (IP) syarikat.
Syarikat itu dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 20 Mei ini yang menjadi menjadi antara penyenaraian baharu tumpuan dalam sektor teknologi.
Bagi unjuran kewangan, Kenanga Research menjangkakan hasil SkyeChip akan berkembang sebanyak 32 peratus pada tahun kewangan 2026 (FY26) dan 30 peratus pada FY27.
Pertumbuhan tersebut dijangka dipacu oleh pelan pembangunan projek yang kukuh dalam segmen IP silikon serta perniagaan litar bersepadu khusus aplikasi (ASIC).
Dalam masa sama, keuntungan selepas cukai (PAT) syarikat turut dijangka meningkat 30 peratus pada FY26 dan 32 peratus pada FY27, dengan margin keuntungan disasarkan kekal stabil sekitar 30 peratus.
Kenanga Research memaklumkan bahawa SkyeChip tidak mempunyai dasar dividen rasmi, namun menyasarkan pembayaran sehingga 25 peratus daripada PAT yang boleh diagihkan kepada pemegang saham.
Firma itu turut menyatakan terdapat potensi peralihan kepada model hasil berasaskan royalti pada masa depan, selaras dengan perkembangan model perniagaan dalam industri semikonduktor.
Bagaimanapun, unjuran tersebut tidak dimasukkan dalam ramalan kewangan ketika ini kerana pelaksanaannya bergantung kepada kejayaan pengambilan pelanggan serta tempoh pengkomersialan yang masih tidak pasti.
Menurut Kenanga Research, berdasarkan pemerhatian terhadap syarikat setara di rantau ini, hasil daripada model royalti dan turnkey boleh menyumbang sekitar 70 hingga 80 peratus daripada jumlah hasil, bergantung kepada kitaran hayat produk dan tahap peningkatan pengeluaran. - DagangNews.com








