Perkhidmatan Grab di Malaysia sumbang RM9.9 bilion kepada ekonomi tempatan - EconWorks | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perkhidmatan Grab di Malaysia sumbang RM9.9 bilion kepada ekonomi tempatan - EconWorks

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Feb — Grab menyumbang sebanyak RM9.9 bilion kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2023 yang bersamaan kira-kira 0.5% daripada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

 

Perkembangan positif itu dimuatkan dalam laporan baharu oleh firma perunding ekonomi tempatan, EconWorks dengan prestasi berkenaan termasuk perkhidmatan e-panggilan dan penghantaran yang ditawarkan syarikat tersebut.

 

"Syarikat penyedia platform teknologi atas talian ini telah menyediakan akses yang luas kepada peluang pendapatan secara fleksibel dan juga menyokong pertumbuhan digital perniagaan kecil," kata kenyataan agensi berkenaan.

 

Grab ujarnya, memberi sumbangan yang ketara dan manfaat ekonomi kepada pelbagai komuniti di seluruh Malaysia dengan setiap RM1 dijana melalui transaksi, maka RM1.50 aktiviti ekonomi tambahan dicipta merentasi ekonomi.

 

"Situasi itu menggariskan impak positif ekosistem Grab sepanjang 12 tahun beroperasi di Malaysia, terhadap jutaan rakyat negara ini dalam kehidupan seharian mereka," kata Pengarah Urusan EconWorks, Dr Wan Khatina Nawawi.

 

Laporan ini jelasnya, mengukur impak operasi Grab dan kesan lanjut perkhidmatan atas permintaannya terhadap nasib pekerja gig serta perniagaan yang kemudian menjana pendapatan selain menjual produk mereka di platformnya.

 

Antara penemuan utama yang lain katanya, sejumlah 88 peratus daripada sumbangan nilai tambah ini datang daripada kerjasama rakan-pemandu dan rakan-niaga Grab yang beroperasi merentasi pelbagai perkhidmatan Grab sendiri.
 

Pada tahun 2023 tambah beliau, rakan-pemandu didapati menyumbang RM4.6 bilion dalam nilai tambah, yang mewakili 0.25 peratus daripada KDNK Malaysia, malah ekosistem Grab menyokong sehingga 277,237 peluang pendapatan.

 

Ini menyediakan aliran pendapatan untuk rakan-pemandu, rakan-niaga, dan pekerja-pekerja dalam rantaian bekalan menyeluruh dengan 1 daripada 64 individu mendapat manfaat secara langsung atau tidak, hasil aktiviti berkaitan Grab.

 

"Peluang pendapatan dijana Grab telah menyumbang tambahan RM3.7 bilion kepada pendapatan isi rumah. Peningkatan oleh rakan-pemandu dan rakan-niaga ini bermakna lebih banyak wang dalam poket rakyat," kata Wan Khatina​.

 

Laporan tersebut ujarnya, menyerlahkan kelebihan persekitaran perniagaan Malaysia yang menyokong, serta kini memberikan tumpuan kepada ekonomi digital dan membolehkan syarikat platform seperti Grab berkembang maju.
 

Rantaian itu menyumbang secara bermakna kepada ekonomi dan dengan mengukur sumbangan mereka, kajian ini memberikan pandangan menyeluruh mengenai bagaimana Grab dan pihak berkepentingan berinteraksi dengan ekonomi Malaysia.
 

Secara umum tambah beliau, keadaan positif berkenaan akhirnya memanfaatkan pula rakyat secara yang lebih luas dan seterusnya mempermudahkan kadar pertumbuhan ekonomi negara. - DagangNews.com