Perkembangan pusat data dan prospek ekonomi positif JS-SEZ pacu pertumbuhan Ranhill Utilities, kata MIDF Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perkembangan pusat data dan prospek ekonomi positif JS-SEZ pacu pertumbuhan Ranhill Utilities, kata MIDF Research 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Pertumbuhan pusat data di Johor dan prospek ekonomi positif daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura bakal membantu pertumbuhan Ranhill Utilities Bhd, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Ranhill SAJ Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Ranhill Utilities Bhd dijangka terus menyumbang kepada hasil kumpulan itu. 

 

Selain itu, MIDF berkata, kumpulan tersebut sedang mengenalpasti dan mengkaji sumber air baharu melalui kerjasamanya dengan YTL Power dan kerajaan negeri.

 

"Walaupun pemegang saham YTL memberi peluang sinergi khususnya dalam kepakaran sektor air, saham Ranhill mungkin terlebih nilai disebabkan kenaikan harga pesat, menjadikannya kurang menarik bagi pelabur baharu.

 

"Harga saham Ranhill meningkat dengan ketara sejak April 2024.

 

“Saham kini didagangkan pada penilaian yang lebih tinggi daripada biasa, pelabur membayar lebih daripada purata  bagi setiap unit pendapatan.

 

"Saham itu bernilai 26.3 kali ganda pendapatan FY26 yang diramalkan, berbanding purata kumpulan sebanyak 20 kali ganda pendapatan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Ranhill mencatat keuntungan bersih teras sebanyak RM10.6 juta pada 4QFY25, yang membawa keuntungan terkumpulnya kepada RM49.6 juta, mewaklili penyusutan 7.7%.

 

Firma tersebut berkata, ini diheret oleh pelunasan yang lebih tinggi ke atas aset konsesi perkhidmatan air dan lebihan kos di Ranhill Worley Sdn Bhd, berkaitan kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) P-82 untuk pengeluar minyak dan gas milik negara Brazil, Petroleo Brasileiro S.A (Petrobras).

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan, tetapi pelarasan tahun kewangan (FY) kumpulan telah dijalankan  bagi mencerminkan tempoh 18 bulan pada FY25 apabila kumpulan menukar FY kepada 30 Jun daripada 31 Disember sebelum ini.

 

"Kami mengekalkan saranan "jual" ke atas saham Ranhill Utilities dangan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.12 daripada RM1.07," katanya.  - DagangNews.com