Perjanjian rangka kerja Citaglobal-MRL sasar 30% bekalan elektrik ECRL guna tenaga hijau menjelang 2030 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perjanjian rangka kerja Citaglobal-MRL sasar 30% bekalan elektrik ECRL guna tenaga hijau menjelang 2030

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mac – Citaglobal Bhd melalui anak syarikatnya, Citaglobal New Energy Sdn Bhd (CGNE), telah menandatangani perjanjian rangka kerja dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi menyediakan khidmat nasihat tenaga dan pembangunan tenaga hijau sepanjang projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

 

Perjanjian tersebut mengiktiraf perkhidmatan yang telah disampaikan oleh CGNE serta obligasi berterusan yang perlu dipenuhi, merangkumi aspek teknikal, komersial, dan regulatori berkaitan pengurusan elektrik ECRL.

 

Citaglobal berkata perkhidmatan yang disediakan termasuk analisis caj sambungan elektrik, struktur dan model tarif elektrik, analisis kewangan, serta interaksi dengan pihak berkuasa dan pemegang taruh bagi pihak MRL.

 

“Mandat nasihat ini tidak memerlukan pelaburan modal yang besar, namun pada masa yang sama dapat menjana pendapatan dari segi modal bagi kumpulan.

 

“Yuran perkhidmatan yang diperoleh daripada perjanjian ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan keuntungan Citaglobal bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain daripada khidmat nasihat, perjanjian itu juga menetapkan tanggungjawab pembangunan tenaga hijau CGNE melalui Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd (CGRE) sepanjang koridor ECRL sejauh 665 kilometer.

 

"Di bawah rangka kerja itu, tenaga hijau mesti membentuk sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah elektrik yang dibekalkan untuk ECRL menjelang 31 Disember 2030.

 

“Ini meletakkan Citaglobal di barisan hadapan dalam usaha mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui ke dalam infrastruktur utama negara,” katanya.

 

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata inisiatif ini menyokong operasi tren dengan tenaga lestari sambil menjana pendapatan berulang jangka panjang, memperkukuh kedudukan syarikat sebagai platform penyedia perkhidmatan tenaga secara menyeluruh.

 

“Projek ini diharap dapat menjadi model bagi integrasi tenaga hijau dalam projek infrastruktur berskala besar, selari dengan usaha Malaysia ke arah pembangunan mampan dan pengurangan pelepasan karbon,” katanya. - DagangNews.com