Perdagangan runcit meningkat 8.2% didorong sektor pelancongan dan penggunaan domestik - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdagangan runcit meningkat 8.2% didorong sektor pelancongan dan penggunaan domestik - MIDF Research

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Mac - Perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.2% tahun ke tahun pada Januari 2025, mencerminkan permulaan yang positif untuk tahun ini.

 

Menurut MIDF Research, pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan perbelanjaan dalam kategori makanan, minuman dan tembakau serta kedai-kedai bukan khusus.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, walaupun terdapat penyesuaian dasar seperti harga diesel yang lebih tinggi dan kenaikan tarif utiliti, tekanan harga keseluruhan tetap terkawal, memastikan kesan yang terhad terhadap daya beli pengguna.

 

Jelasnya, dalam konteks ekonomi negara, pasaran pekerjaan masih menjadi faktor penting yang menyokong ekonomi dengan kadar pengangguran kekal tidak berubah pada 3.1% dan kadar penyertaan tenaga buruh stabil pada 70.6%, yang menunjukkan kestabilan pekerjaan.

 

"Kami kekal optimis terhadap kelestarian penggunaan domestik, disokong oleh keadaan pekerjaan yang stabil, peningkatan gaji dan sokongan dasar kerajaan.

 

"Faktor-faktor seperti kenaikan gaji penjawat awam, kenaikan gaji minimum dan program bantuan tunai yang berterusan, dijangka memperkukuhkan daya beli pengguna," kata MIDF Research dalam satu nota kajian.

 

Tambahnya, aktiviti runcit akan terus disokong menjelang sambutan Aidilfitri dan pemulihan sektor pelancongan.

 

MIDF Research berkata, sektor pelancongan juga mengalami kebangkitan yang ketara dan perniagaan yang berfokuskan pengguna dijangka mendapat manfaat yang besar.

 

"Spritzer Bhd dijangka memanfaatkan peningkatan permintaan air botol, didorong oleh jumlah pelancong yang lebih tinggi dan tempoh masa tinggal lebih lama di negara ini.

 

"Begitu juga, Oriental Kopi Holdings Bhd berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peningkatan trafik pengguna di pusat bandar yang sibuk dan kawasan tumpuan pelancong, dengan memanfaatkan sektor kulinari Malaysia yang berkembang pesat untuk menarik pelancong," ujarnya.

 

Ia berkata, Family Mart, yang dioperasikan oleh QL Resources Bhd, dijangka meraih permintaan yang semakin meningkat untuk makanan segera, minuman dan keperluan perjalanan penting, terutamanya apabila kemasukan pelancong antarabangsa kian bertambah.

 

Pada tahun 2024, ketibaan pelancong antarabangsa melonjak sebanyak satu perempat kepada 25 juta. 

 

Pelancong paling ramai datang dari China diikuti India, sementara kemasukan pelancong yang stabil dari Singapura dan Indonesia mengukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama. - DagangNews.com