KUALA LUMPUR 25 Mac - Westports Holdings Bhd kekal berdaya tahan terhadap konflik di Timur Tengah ekoran pendedahan langsung yang minimum, sekali gus menyokong prospek pertumbuhan berterusan kumpulan dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
RHB Research berkata, hanya 5% daripada jumlah volum kontena Westports terdedah kepada rantau tersebut, walaupun laluan Asia-Eropah menyumbang sekitar 16% daripada keseluruhan aktiviti pelabuhan itu.
Pengurusan turut mengesahkan kesemua lapan perkhidmatan perkapalan dari Timur Tengah masih beroperasi seperti biasa setakat ini.
Menariknya, beberapa syarikat perkapalan dilihat mula mengalihkan kargo ke hab alternatif seperti Westports berikutan kekangan di Selat Hormuz, sekali gus memberikan limpahan volum tambahan kepada operator pelabuhan tempatan itu.
Namun begitu, Westports mengambil pendekatan berhati-hati dengan menolak kontena yang tidak mempunyai destinasi akhir yang jelas bagi memastikan kecekapan operasi terus terpelihara.
Langkah itu membolehkan kumpulan mengekalkan kepadatan kawasan simpanan pada tahap sihat antara 70% hingga 80%, sekali gus mengelakkan risiko kesesakan di pelabuhan.
Dalam masa sama, dua gudang baharu yang dijadual mula beroperasi pada April dan Jun dijangka menambah kapasiti pengendalian sebanyak 500,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun.
Seiring dengan asas operasi yang kukuh itu, RHB Research mengekalkan saranan “Beli” terhadap Westports dengan harga sasaran (TP) berasaskan aliran tunai terdiskaun (DCF) sebanyak RM6.89.
Penilaian tersebut mencerminkan potensi kenaikan sekitar 16% daripada paras semasa, di samping pulangan hasil yang menarik kira-kira 5% bagi tahun kewangan 2027.
Menurut RHB Research lagi, Westports terus menjadi pilihan utama dalam sektor pelabuhan disebabkan beberapa faktor utama termasuk trajektori pertumbuhan pendapatan yang disokong oleh pelarasan tarif, pertumbuhan volum kontena yang stabil hasil dagangan intra-Asia, serta sifat defensif perniagaannya.
“Saham ini kini diniagakan pada 16.4 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi FY27F, iaitu satu sisihan piawai di atas purata tiga tahun, mencerminkan keyakinan pasaran terhadap prospek pertumbuhannya,” katanya.
Kos bahan api, pembukaan Terusan Suez
Sementara itu RHB Research berkata, peningkatan kos bahan api dberpotensi memberi tekanan kepada prestasi kewangan Westports dalam persekitaran ketidaktentuan geopolitik semasa.
Kata firma itu, berdasarkan ujian sensitiviti, setiap kenaikan 10% dalam kos bahan api boleh mengurangkan pendapatan kumpulan sekitar 1% bagi tahun kewangan 2026 (FY26F).
Bagaimanapun, tahap sebenar impak tersebut bergantung kepada tempoh konflik yang berlarutan, khususnya melibatkan ketegangan di Timur Tengah yang menjejaskan rantaian bekalan tenaga global.
“Dalam konteks ini, kami melihat persekitaran semasa sebagai masa yang sesuai bagi kerajaan mempertimbangkan mekanisme mitigasi harga bagi mengurangkan tekanan kos kepada pemain industri,” katanya.
Sementara itu, prospek pembukaan semula laluan perkapalan utama melalui Terusan Suez dijangka terus tertangguh susulan risiko keselamatan yang masih tinggi.
Sebelum ini, syarikat perkapalan global mula mengembalikan sebahagian perkhidmatan laluan timur-barat melalui Terusan Suez selepas sekian lama melencong ke laluan Tanjung Harapan sejak akhir 2023 akibat serangan militan Houthi.
Namun, perkembangan terkini menunjukkan rancangan tersebut berkemungkinan ditangguhkan, sekali gus berpotensi meningkatkan ketidaktentuan kadar tambang perkapalan global.
Penganalisis berkata, situasi ini boleh memberi kesan kepada kos logistik dan rantaian bekalan, sekali gus mempengaruhi dinamik perdagangan antarabangsa dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com








