Perbelanjaan swasta kekal pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara pada 2025, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perbelanjaan swasta kekal pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara pada 2025, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Perbelanjaan swasta diyakini kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, dengan unjuran pengembangan sebanyak 5.5% pada 2025.

 

TA Securities berkata, prospek ini disokong pasaran buruh yang berdaya tahan, pertumbuhan pendapatan yang stabil dan inflasi yang terkawal.

 

“Perbelanjaan pengguna juga berkemungkinan menerima rangsangan tambahan daripada gaji penjawat awam yang lebih tinggi, kenaikan gaji minimum dan peningkatan ketibaan pelancong, terutamanya yang memanfaatkan sektor runcit, makanan dan minuman serta riadah,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyeliidikan itu berkata, jawatan Pengerusi ASEAN Malaysia tahun ini boleh menjadi pemangkin tambahan, menarik lebih banyak aktiviti perniagaan, acara antarabangsa dan peningkatan perbelanjaan, khususnya di pusat bandar dan industri berkaitan hospitaliti.

 

“Bagaimanapun, rasionalisasi subsidi bahan api RON95 kekal sebagai risiko utama. 

 

"Kos bahan api yang lebih tinggi boleh menghakis pendapatan boleh guna, terutamanya untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, yang berpotensi membebankan perbelanjaan mengikut budi bicara," katanya.

 

TA Securities berkata, impak keseluruhan bergantung pada masa dan kesan pelarasan subsidi, serta keberkesanan program bantuan kewangan yang disasarkan yang direka bentuk untuk mengurangkan kesan ke atas kumpulan yang terdedah.

 

Katanya, di sebalik risiko itu, keyakinan pengguna yang kukuh serta langkah dasar yang bertujuan menyokong perbelanjaan isi rumah dan penambahbaikan struktur berterusan dalam pasaran buruh dijangka mengekalkan pertumbuhan penggunaan swasta pada tahun-tahun akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, indeks perdagangan pengedaran (DTI) Malaysia meningkat sebanyak 3.8% pada asas tahun ke tahun pada Januari 2025, mencecah 158.1 mata. 

 

"Ini menandakan kelembapan daripada pertumbuhan 4.4% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. 

 

"Pada asas bulan ke bulan, DTI menguncup sebanyak 1.8%, membalikkan keuntungan 1.5% bulan ke bulan pada Disember 2024," katanya.

 

“Jualan perdagangan pengedaran juga mencatatkan pertumbuhan sederhana 4.6% kepada RM148.9 bilion, susut daripada peningkatan 5.7% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya," katanya.

 

TA Securities berkata, pertumbuhan dalam DTI menunjukkan perbelanjaan peribadi akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama.

 

"Walaupun kadar pertumbuhan menyederhana sedikit pada Januari 2025, kami menjangkakan corak perbelanjaan yang lebih kukuh pada Februari dan Mac 2025, didorong musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Ramadan," katanya.- DagangNews.com