Peraih individu dibenarkan daftar syarikat bagi nikmati subsidi diesel, bantu sektor agrikomoditi hadapi lonjakan kos - Akmal Nasrullah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peraih individu dibenarkan daftar syarikat bagi nikmati subsidi diesel, bantu sektor agrikomoditi hadapi lonjakan kos - Akmal Nasrullah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mei - Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersetuju memperkukuh sistem logistik sektor agrikomoditi termasuk membolehkan peraih individu mendaftar sebagai syarikat bagi melayakkan mereka menerima insentif di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

 

Langkah itu dibuat ketika sektor berkenaan berdepan tekanan kos operasi yang semakin meningkat susulan konflik di Timur Tengah yang menjejaskan rantaian bekalan global dan kos penghantaran antarabangsa.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, proses memudahcara itu akan diselaraskan menerusi kerjasama antara Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

 

“MTEN bersetuju memperkukuh sokongan logistik kepada sektor agrikomoditi termasuk memberi ruang kepada peraih individu mendaftar sebagai syarikat supaya layak menikmati insentif di bawah SKDS,” katanya dalam taklimat krisis bekalan global yang disiarkan secara langsung hari ini.

 

SKDS merupakan pendekatan subsidi bersasar kerajaan yang menyalurkan bantuan terus kepada sektor layak bagi mengawal kos barangan dan perkhidmatan penting. Di bawah SKDS 2.0 yang dilaksanakan pada 10 Jun 2024, syarikat yang memenuhi syarat boleh membeli diesel pada harga RM2.15 seliter tertakluk kepada kuota ditetapkan.

 

Menurut Akmal, MTEN turut bersetuju supaya KPK meneliti langkah jangka sederhana dan panjang termasuk memperketat kawalan harga input pertanian serta penguatkuasaan anti pencatutan selain memperluaskan eksport minyak sawit ke pasaran baharu.

 

Katanya, sektor agri-komoditi kini berdepan peningkatan kos operasi yang ketara apabila kos penghantaran ke Asia Barat melonjak antara 50% hingga 80% susulan kenaikan premium risiko perang.

 

“Kos operasi perladangan meningkat antara 10% hingga 30%, manakala kos penanaman semula getah melonjak sehingga 55%.

 

“Pada masa sama, kos pengeluaran oleokimia berasaskan sawit meningkat sehingga 30%, sementara harga baja dan racun perosak masing-masing naik sehingga 45.5% dan 37.5%,” katanya.

 

Beliau berkata, sektor agri-komoditi kekal menjadi tonggak penting ekonomi negara dengan jumlah dagangan mencecah RM271.64 bilion pada 2025.

 

Daripada jumlah itu, minyak sawit menyumbang 63.5% atau RM124.89 bilion daripada keseluruhan eksport sektor berkenaan.

 

Namun, prestasi sektor itu mula menunjukkan kelemahan pada suku pertama 2026 apabila jumlah dagangan susut 14.7% kepada RM47.38 bilion berikutan penurunan eksport semua komoditi utama termasuk koko, getah, minyak sawit, lada hitam dan kayu kayan.

 

Eksport sektor agri-komoditi kini dijangka menguncup 13.48% pada 2026 kepada RM170.2 bilion, manakala import diunjur turun 3.28% kepada RM72.47 bilion.

 

Akmal berkata, bagi mengurangkan impak kenaikan kos terhadap pekebun kecil dan pemain industri, kerajaan turut melaksanakan beberapa inisiatif termasuk bantuan tunai bersasar menerusi program Budi, perolehan pukal baja dan racun perosak serta pemberian rebat levi dan cess bagi kargo dipulangkan.

 

Selain itu, kerajaan juga menggalakkan penggunaan baja organik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import selain memperluaskan penggunaan teknologi Soil Nutrient Probe (SNP) dalam penanaman koko dan lada hitam sebelum diperkenalkan kepada tanaman lain. - DagangNews.com