Penyiapan Seksyen 3 WCE dijangka hapuskan tekanan kepada saham IJM, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyiapan Seksyen 3 WCE dijangka hapuskan tekanan kepada saham IJM, kata CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Mei - Penyiapan Seksyen 3 West Coast Expressway (WCE) dijangka menjadi pemangkin positif kepada IJM Corp Bhd apabila projek yang sekian lama tertangguh itu kini semakin hampir untuk beroperasi sepenuhnya.

 

Menurut CIMB Securities, Seksyen 3 WCE dijadual dibuka kepada trafik pada suku pertama 2027, sekali gus melengkapkan sambungan antara dua seksyen pertama lebuh raya berkenaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kemajuan pembinaan projek meningkat dengan ketara selepas penyelesaian pertikaian pengambilan tanah melibatkan 19 penduduk di Kampung Jawa pada Disember 2025.

 

“Seksyen 3 yang sebelum ini dianggap sebagai ‘missing link’ dalam laluan WCE akan meningkatkan aliran trafik dan hubungan bagi kenderaan berat yang bergerak antara utara dan selatan Semenanjung Malaysia.

 

“Apabila beroperasi kelak, ia dijangka mengukuhkan kedudukan WCE sebagai alternatif berdaya maju kepada Lebuhraya Utara-Selatan selain membantu mengurangkan kesesakan trafik di koridor pantai barat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

WCE dalam kenyataan pada 24 Mei lalu memaklumkan kemajuan pembinaan seksyen berkenaan menunjukkan momentum positif dengan kerja-kerja teknikal dan pembinaan berjalan lancar sejak beberapa bulan lalu dan struktur utama termasuk tiang utama serta komponen jambatan bertingkat kini mula kelihatan di tapak projek.

 

"Kemajuan projek terus meningkat dan kami optimis seksyen ini dapat disiapkan menjelang hujung tahun sebelum memulakan operasi pada suku pertama tahun depan," kata WCE dalam kenyataan itu.

 

Sementara itu CIMB Securities berkata, walaupun perkembangan itu dilihat positif kepada prospek jangka panjang IJM, firma itu menurunkan unjuran keuntungan teras syarikat bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 masing-masing sebanyak 4.6%, 19.4% dan 19.9%.

 

Unjuran keuntungan baharu ditetapkan pada RM321 juta bagi FY2026, RM367 juta bagi FY2027 dan RM409 juta bagi FY2028.

 

Menurut firma itu, semakan dibuat berikutan tekanan kos yang lebih tinggi susulan konflik di Timur Tengah selain penurunan dua hingga lima peratus jumlah kargo di Kuantan Port.

 

Seiring pelarasan unjuran pendapatan tersebut, CIMB Securities turut menurunkan harga sasaran IJM kepada RM2.90 berbanding RM3.50 sebelum ini.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan “beli” terhadap saham IJM, disokong prospek pembukaan nilai syarikat melalui beberapa langkah strategik.

 

Antaranya termasuk kemungkinan pengasingan perniagaan pembinaan dan konsesi tol, pelupusan operasi di India serta langkah pengurusan modal tambahan pada masa hadapan. - DagangNews.com