KUALA LUMPUR 4 Mac - WCT Holdings Bhd menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menubuhkan dan menyenaraikan Paradigm Real Estate Investment Trust (Paradigm REIT) di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
WCT berkata, Paradigm REIT akan disenarai dengan saiz dana awal sebanyak 1.6 bilion unit dan portfolio tiga hartanah yang dianggarkan bernilai RM2.44 bilion.
"Pemerolehan hartanah-hartanah tersebut akan diselesaikan melalui penerbitan 1.6 bilion unit pada harga RM1.00 setiap unit dan pembayaran tunai sebanyak RM837 juta, yang dibiayai melalui nota jangka sederhana yang disokong oleh hartanah komersial.
"Portfolio hartanah awal termasuk Aeon Mall Bukit Tinggi, yang akan diambil alih daripada unit milik penuh WCT, Gemilang Waras Sdn Bhd pada harga RM680 juta. Sejumlah RM350 juta akan dibayar dalam bentuk unit dan RM330 juta dalam bentuk tunai," jelas WCT dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.
Paradigm Mall Petaling Jaya, yang dimiliki oleh usaha sama 70% milik WCT, Jelas Puri Sdn Bhd, akan diambil alih pada harga RM600 juta, dengan RM230 juta dibayar dalam bentuk unit dan RM370 juta dalam bentuk tunai.
Sementara itu, Paradigm Mall Johor Bahru, yang dimiliki oleh WCT Hartanah Jaya Sdn Bhd, sebuah unit milik sepenuhnya WCT, akan diambil alih pada harga RM1.16 bilion, dengan RM1.02 bilion dalam bentuk unit dan RM137 juta dalam bentuk tunai.
Penyenaraian REIT tersebut akan melibatkan tawaran sehingga 254.66 juta unit kepada pelabur runcit, termasuk tawaran terhad yang tidak boleh diperdagangkan (ROFS) kepada pemegang saham WCT, unit untuk pengarah dan pekerja, serta bahagian awam, di mana separuh daripadanya akan diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera.
Sekurang-kurangnya 305.34 juta unit lagi akan ditempatkan untuk pelabur institusi Malaysia dan pelabur terpilih, termasuk 200 juta unit yang disasarkan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).
Penyenaraian berkenaan masih tertakluk kepada kelulusan tambahan, termasuk daripada Bursa Malaysia, pemegang saham WCT dan pihak berkuasa negeri bagi pemindahan hartanah.
Paradigm REIT juga mesti memperuntukkan sekurang-kurangnya 12.5% daripada asas unit yang diperbesarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Miti dan mengemukakan laporan audit operasi dalam tempoh enam bulan selepas penyenaraian.
Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat utama untuk penubuhan dan penyenaraian REIT itu. - DagangNews.com








