KUALA LUMPUR 30 Mac — Vantris Energy Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Bhd, telah menyalurkan bayaran sebanyak RM1.1 bilion kepada vendor tempatan, sekali gus memberikan rangsangan signifikan kepada aliran tunai serta kestabilan operasi dalam ekosistem minyak dan gas (O&G) negara.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat selepas pelaksanaan pelan penstrukturan semula, dengan lebih 1,400 vendor Malaysia menerima bayaran dalam tempoh 90 hari daripada tarikh kuat kuasa yang ditetapkan.
Daripada jumlah tersebut, lebih 80% kekal sebagai vendor aktif, manakala lebih 75% terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Hampir separuh pula merupakan syarikat Bumiputera, mencerminkan kesan menyeluruh terhadap rantaian bekalan domestik.
Beberapa vendor mengakui penyelesaian bayaran itu telah memberi impak segera kepada operasi dan kedudukan kewangan mereka.
Keyfield Offshore Sdn Bhd, yang menyediakan perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir, kru, katering dan penginapan, memaklumkan bahawa penerimaan bayaran melebihi RM9.7 juta telah membantu meningkatkan kecairan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Erwan Ahmad berkata, langkah tersebut membolehkan syarikat meneruskan operasi serta merancang pertumbuhan perniagaan dengan lebih teratur.
Sementara itu, Swift Integrated Logistics Sdn Bhd, anak syarikat kepada Swift Group, menyifatkan penyelesaian kira-kira RM9 juta sebagai pemangkin penting dalam menangani kekangan aliran tunai harian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift Haulage Bhd, Loo Yong Hui berkata, sebagai penyedia logistik, kebanyakan kos operasi termasuk gaji dan bayaran vendor perlu ditanggung lebih awal, menjadikan aliran tunai sebagai elemen kritikal.
“Penyelesaian ini membolehkan kami menstabilkan operasi dan terus menyokong keperluan perkhidmatan Vantris Energy dengan lebih yakin,” katanya lapor New Straits Times.
Beliau turut menambah kerjasama antara kedua-dua pihak telah terjalin selama lebih tujuh tahun, melibatkan perkhidmatan penghantaran fret, pengurusan kapal serta pelepasan kru di seluruh negara.
Bagi Classic Marine & Services (M) Sdn Bhd pula, bayaran penuh berjumlah kira-kira RM11 juta telah membantu memastikan kelangsungan operasi serta mengekalkan hubungan perniagaan yang dibina sejak lebih sedekad lalu.
Pengarah Urusannya, Muhd Khairul Rijal Khalid berkata, faktor hubungan jangka panjang dan persefahaman bersama membolehkan operasi syarikat berjalan lancar tanpa gangguan besar sepanjang tempoh mencabar itu.
Syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan penyewaan kapal, katering luar pesisir dan logistik marin itu kini terus menyokong pelbagai projek luar pesisir di negara ini. - DagangNews.com








