Penyelenggaraan berkala, AmInvestment jangka kadar penggunaan kapal Keyfield berada antara 55% hingga 65% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyelenggaraan berkala, AmInvestment jangka kadar penggunaan kapal Keyfield berada antara 55% hingga 65%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - AmInvestment Bank Research menjangkakan kadar penggunaan kapal Keyfield International Bhd pada 1QFY25 lebih rendah antara 55% hingga 65% kesan daripada aktiviti penyelenggaraan berkala.

 

Bagaimanapun, hasil harian dilihat kembali normal pada paras tinggi semasa untuk segmen bot kerja penginapan (AWB) dan kapal tunda pengendalian sauh (AHTS). 

 

Katanya, penyelenggaraan berkala dibuat bergantung pada skop kerja yang dirancang dan ketersediaan ruang di limbungan.

 

"Proses ini memberi tumpuan kepada komponen seperti badan kapal, kipas, kemudi dan sistem bawah air yang lain untuk memastikan keselamatan dan pematuhan peraturan.

 

"Lazimnya, ia dilakukan setiap lima tahun, walaupun kekerapan mungkin berbeza-beza berdasarkan umur, keadaan dan keperluan operasi kapal," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kapal Keyfield, Lestari kini sedang menjalani penyelenggaraan kedua, setelah mencapai umur perkhidmatan 10 tahun.

 

Sebagai perbandingan, kapal lama seperti Commander, Amanah dan Itqan, yang telah beroperasi selama 16 tahun, kini menjalani kitaran penyelenggaran ketiga. Penyelenggaraan berjadual ini memastikan jangka hayat dan kebolehpercayaan aset itu.

 

AmInvestment berkata, hasil setiap hari untuk segmen AWB dan AHTS kekal stabil, sebahagian besarnya berdasarkan persekitaran bekalan yang ketat.

 

Katanya, berdasarkan pemerhatian, kontrak sewa terbahar bagi kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang lain, pihaknya menganggarkan kadar pada RM85,000 hingga RM95,000 untuk AWB bukan DP2 dan AHTS iaitu antara RM35,000 hingga RM40,000.

 

"Ini menunjukkan potensi peningkatan kepada pendapatan kerana ramalan kami pada masa ini menggabungkan andaian purata RM85,000 dan RM40,000 untuk segmen masing-masing.

 

"Kami percaya hasil setiap hari berkemungkinan normal pada tahap semasa bergerak ke hadapan kerana ketersediaan kapal terus terhad," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM3.25 sesaham.- DagangNews.com