KUALA LUMPUR 15 April - Pengiklanan berasaskan web yang sebelum ini menjadi pemacu pertumbuhan media tempatan mencatatkan kemerosotan ketara antara 33% hingga 38% sejak 2024, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu telah menutup ruang pertumbuhan, lebih-lebih lagi perbelanjaan pengiklanan (adex) tradisional dijangka meneruskan trend penurunan berbilang tahun.
Katanya, ini berikutan peralihan ketara pengiklan ke saluran digital yang semakin menguasai pasaran.
"Pemain media tradisional masih ketinggalan dari segi kehadiran digital, dengan kebanyakan hanya bergantung kepada pengiklanan berasaskan laman web," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sehubungan itu, syarikat media disaran untuk menyusun semula strategi perniagaan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengkomersilan portfolio harta intelek (IP) sebagai pemacu pertumbuhan baharu.
Menurut Kenanga, langkah tersebut berpotensi membantu mengimbangi kejatuhan berterusan dalam adex tradisional, walaupun usaha berkenaan masih di peringkat awal dan memerlukan masa untuk menunjukkan hasil.
“Dalam jangka panjang, perngkomersilan IP boleh menjadi sumber pendapatan alternatif yang mampan, namun pada masa ini ia masih dalam fasa pembangunan,” katanya.
Bagi tahun kewangan 2026 (FY26F), adex diunjurkan berjumlah RM4.24 bilion, menyusut 10% berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan kelemahan menyeluruh merangkumi media tradisional serta inventori digital berasaskan web.
Dalam pada itu, sektor media terus berdepan tekanan pendapatan susulan persaingan sengit serta kos operasi tinggi hasil tinggalan model perniagaan lama.
Berikutan itu, penarafan UNDERWEIGHT dikekalkan terhadap sektor berkenaan, dengan tiada pilihan saham utama disyorkan buat masa ini. - DagangNews.com








