KUALA LUMPUR 11 Mac — Seorang pentadbir akaun Facebook dengan nama 'Bat Tuo Sai' dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan serta denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen 1 Miri di Sarawak hari ini.
Tertuduh didapati bersalah memuat naik komen bersifat jelik melampau dan menyinggung sensitiviti agama Islam berhubung pemergian bekas Perdana Menteri yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, John Mule anak Alai, didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan aplikasi secara tidak wajar.
"Tertuduh memuat naik komen yang menghina ayat suci al-Quran serta Allahyarham Abdullah menerusi hantaran Facebook milik Astro Awani berkaitan berita pemergian tokoh itu," katanya dalam kenyataan.
Tambah MCMC, kesalahan John Mule, 48, itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) akta berkenaan kerana memuat naik komunikasi yang bersifat jelik secara melampau dengan niat untuk mengganggu orang lain.
MCMC jelasnya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital menghina, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.
Sehubungan itu kata MCMC, orang ramai diingatkan supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bersikap lebih bertanggungjawab serta mematuhi segala undang-undang yang berkuat kuasa.
"Sebarang kandungan yang menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama serta institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang," katanya. - DagangNews.com








