KUALA LUMPUR 7 Mei - Cadangan penswastaan Lebuhraya Laluan Istana-Kiara (LIKE) dan Lebuhraya Kampung Baru Link (KBL) oleh Ekovest Bhd (Ekovest) akan dilaksanakan secara berperingkat dengan projek LIKE bakal dilaksanakan dalam Fasa 1, manakala KBL di bawah Fasa 2.
Syarikat itu berkata, di bawah Fasa 1 projek LIKE, kerajaan dan anak syarikat milik penuhnya, Lebuhraya DUKE Fasa 2A Sdn Bhd (LDF2A) akan meneruskan perjanjian konsesi selepas ia disemak dan diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikat milik penuhnya, Lebuhraya DUKE Fasa 2A Sdn. Bhd. (LDF2A) telah menerima makluman rasmi daripada kerajaan berhubung kelulusan pelaksanaan projek LIKE yang sebelum ini dikenali sebagai Istana Link serta KBL.
Bagi Fasa 2 projek KBL, Ekovest berkata, Unit Kerajaan Awam Swasta (UKAS) akan memuktamadkan syarat penting dalam konsesi dengan kementerian atau agensi berkaitan dan LDF2A menjelang 31 Disember 2026.
Cadangan penswastaan tersebut pertama kali diumumkan pada Januari 2017 apabila Ekovest memperoleh kelulusan prinsip daripada kerajaan bagi pelaksanaan tiga projek lebuh raya iaitu KBL, LIKE, dan Kapar Link Expressway yang melibatkan jarak keseluruhan sejauh 75.2 kilometer.
Kos pembangunan dianggarkan berjumlah RM6.32 bilion, dengan matlamat menyediakan rangkaian sambungan strategik serta laluan terus yang menyokong kelancaran pergerakan di dalam dan sekitar pusat bandar Kuala Lumpur, sekali gus melengkapkan hubungan rangkaian lebuh raya di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Ekovest merupakan pemegang konsesi rangkaian Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), termasuk sambungan fasa kedua lebuh raya tersebut.- DagangNews.com








