Penjualan saham minoriti LPI Capital dalam Public Bank berpotensi hasilkan sehingga 18% dividen khas - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penjualan saham minoriti LPI Capital dalam Public Bank berpotensi hasilkan sehingga 18% dividen khas - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Feb - Penjualan pegangan minoriti LPI Capital Bhd dalam Public Bank Bhd berpotensi diterjemahkan kepada hasil dividen khas sehingga 18%, kata, Kenanga Research.

 

Katanya, berdasarkan harga penutup terakhir Public Bank sebanyak RM4.40 sesaham, 1.1% kepentingan LPI Capital akan bernilai RM940 juta dan mereka masih belum memutuskan cara untuk menggunakan hasil itu. 

 

"Kami menolak sebarang kemungkinan pertumbuhan bukan organik kerana Lonpac Insurance Bhd, anak syarikat utama LPI Capital, mendahului rakan setaranya dari segi keuntungan. 

 

"Sebarang potensi pengambilalihan lebih berkemungkinan memberi kecairan kepada kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian.

 

Di bawah Akta Syarikat, LPI Capital dikehendaki menjual 1.1% pegangan saham Public Bank yang dipegang dalam tempoh 12 bulan, kerana syarikat itu kini merupakan anak syarikat selepas diambil alih oleh Public Bank.

 

Pada Disember 2024, Public Bank mengumumkan, pengambilalihan 44.15% kepentingan dalam LPI Capital daripada harta pusaka mendian Tan Sri Teh Hong Piow dan Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd.

 

Dengan mengandaikan nisbah pembayaran purata LPI Capital sebanyak 80%, penjualan itu berpotensi membawa kepada RM1.89 sesaham dalam dividen khas, atau hampir 15% dalam hasil tambahan, menurut anggaran Kenanga Research. 

 

Katanya, pembayaran penuh akan mencecah sehingga RM2.36 sesaham atau 18.4% dalam hasil tambahan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform", dengan menyatakan LPI mungkin melihat 2025 sebagai tahun yang baik kerana fenomema banjir besar dijangka tidak berulang memandangkan pendedahan taja jamin yang rendah.


Banjir besar 2021, yang menjejaskan 11 negeri di Malaysia, menyebabkan kerugian ekonomi berjumlah lebih RM6 bilion, dan disifatkan sebagai bencana "sekali dalam satu abad".

 

Selepas itu, premium perolehan bersih LPI Capital turun 14% tahun ke tahun pada suku pertama 2022, disebabkan pelarasan kepada peruntukan insurans semula daripada banjir. - DagangNews.com