Peningkatan permintaan simen daripada projek pembangunan utama, RHB Research yakin Malayan Cement catat perkembangan hasil pada FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan permintaan simen daripada projek pembangunan utama, RHB Research yakin Malayan Cement catat perkembangan hasil pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - Malayan Cement Bhd diyakini mencatatkan perkembangan hasil lebih baik pada FY25 disokong peningkatan permintaan simen daripada projek utama seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Lebuhraya Span Ipoh Barat dan pengembalian semula lima stesen LRT.

 

RHB Research berkata, ia juga didorong permintan kukuh untuk projek perindustrian dan pembangunan hartanah terutamanya projek kediaman bertingkat di Lembah Klang.

 

Katanya, kontrak bagi pembekalan simen untuk Laluan Rel Pantai Timur atau ECRL Fasa 1 secara rasmi dihentikan pada akhir Disember 2024 tetapi kumpulan itu akan terus menyediakan simen untuk Fasa 2, walaupun tanpa kontrak eksklusif.

 

"Kami menukai kumulan itu kerana kedudukannya sebagai penerima manfaat sektor pembinaan yang semakin meningkat, memandangkan mereka adalah pengeluar simen terbesar di Malaysia.

 

"Kami menyemak naik unjuran pendapatan FY25 kumpulan sebanyak 8% selepas melaraskan andaian margin tetapi mengekalkan unjuran untung bersih FY26-FY27," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak 52.4% untuk suku kewangan kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25) didorong pendapatan operasi lain yang lebih tinggi dan kos yang lebih rendah.

 

Keuntungan bersih 2QFY25 ialah RM184.68 juta daripada RM121.18 juta setahun lalu. Perolehan sesaham meningkat pada 13.81 sen daripada 9.25 sen sebelumnya.

 

Hasil suku tahunan kumpulan bagaimanapun menyusut sedikit kepada RM1.15 bilion berbanding RM1.16 bilion hasil jualan yang lebih rendah bagi segmen klinker, simen dan bahan binaan lain.

 

RHB Research berkata, pendapatan 2QFY25 mengatasi jangkaan, dengan Malayan Cement merekodkan pertumbuhan kukuh dua digit daripada kos pengeluaran dan pinjaman yang lebih rendah manakala pertumbuhan hasil kekal tidak berubah.

 

Katanya, pertumbuhan margin itu disebabkan permintaan kukuh untuk konkrit campurannya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM6.71 sesaham. - DagangNews.com