Peningkatan permintaan perkhidmatan penjagaan kesihatan, RHB Research positif terhadap prospek jangka panjang IHH Healthcare | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan permintaan perkhidmatan penjagaan kesihatan, RHB Research positif terhadap prospek jangka panjang IHH Healthcare

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - RHB Research positif terhadap prospek jangka panjang IHH Healthcare Bhd didorong kekuatan jenama selain peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan dan fokus kepada pelanggan mewah bagi memberikan daya tahan pendapatan.

 

Firma penyelidikan itu juga kekal yakin dengan pelan strategik pertumbuhan oraganik dan bukan organik kumpulan itu.

 

Katanya, sehingga Disember 2024, kumpulan itu telah menambah sejumlah 1,004 katil bagi memenuhi sasaran pengembangan sebanyak 4,000 katil menjelang 2028.

 

"Fokus pengembangan selebihnya akan tertumpu kepada pasaran membangun seperti di Malaysia dan India, memberikan peluang kepada IHH untuk meneroka kawasan yang memiliki kurang akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti.

 

"Kami menyukai startegi pelaksanaan kumupulan dan jejak serantaunya di seluruh wilayah utama yang dipacu kekuatan jenama selain fokus kepada pelanggan mewah bagi menyediakan pendapatan berdaya tahan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi FY24 susut kepada RM2.66 bilion berbanding RM2.95 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan penyedia penjagaan kesihatan bersepadu itu meningkat kepada RM24.38 bilion daripada RM20.93 bilion, didorong pertumbuhan berterusan dalam jumlah pesakit dan intensiti pendapatan di semua pasaran, masing-masing sebanyak 16% dan 17% berbanding FY23

 

IHH mengekalkan lembaran imbangan yang kukuh dengan aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi berjumlah RM3.1 bilion dan nisbah hutang bersih pada tahap sihat iaitu 0.39x.

 

RHB Research menyemak turun pendapatan 2025-2026 kumpulan sebanyak 3% dan 1% selepas mengambil kira kos kewangan yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu bagaimananpun terus menyukai IHH kerana jejak serantaunya yang bereputasi di seluruh wilayah utama, pengembangan teguh dan permintaan berdaya tahan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM8.70 sesaham," katanya.- DagangNews.com