KUALA LUMPUR 5 Feb - Hasil ES Sunlogy Bhd diyakini berkembang pada pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 17% sepanjang tiga tahun didorong oleh peningkatan penggunaan tenaga solar, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan permintaan perkhidmatan kejuruteraan Mekanikal & Elektrikal (M&E) akan meningkat bagi bangunan kediaman, komersial dan perindustrian.
Katanya, peningkatan permintaan tersebut berdasarkan trend pengguna dan syarikat memenuhi matlamat Malaysia mencapai 70% tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2050.
ES Sunlogy terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kejuruteraan M&E untuk sistem pengagihan bekalan elektrik dan bangunan bersama-sama dengan penjanaan dan penjualan RE.
Penyedia perkhidmatan kejuruteraan M&E itu telah memfailkan tawaran awam permulaannya (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Ogos 2024 bagi mengumpul dana RM42 juta.
Katanya, sebahagian besar daripada hasil dana tersebut akan diperuntukkan untuk membina Loji Fotovoltaik Suria Berskala Besar (LSSPV) Selarong.
Selebih dana akan digunakan untuk mengembangkan modal kerja, seperti meningkatkan tenaga kerja.
Ini akan membantu syarikat mengembangkan keupayaannya dan membida untuk lebih banyak projek dalam kedua-dua sektor EPCC (kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan) dan tenaga solar.
RHB Research berkata, sehingga 24 Disember 2024, buku pesanan ES Sunlogy bernilai RM269 juta, dengan nilai buku tender mencecah RM1 bilion merentasi 103 tawaran.
"Kami meramalkan peningkatan sebanyak 7% dalam margin bersih pada FY25 dengan peningkatan kepada 7.8% pada FY26.
"Anggaran kami disokong oleh kemenangan kontrak yang konsisten ES Sunlogy dan pendapatan lebih tinggi kumpulan daripada penjanaan RE.
"Oleh itu kami memberi harga wajar (FV) saham ES Sunlogy pada 41 sen sesaham berdasarkan pendapatan (PE) bagi FY26 sebanyak 14 kali ganda," katanya - DagangNews.com








